"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tambun antara 3 pilihan utama Anwar

Malaysiakini

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim telah menyenaraipendekkan pilihan kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Tambun dan dua lagi di Lembah Klang, kata sumber.

Bercakap kepada Malaysiakini, sumber PH Perak berkata Anwar sedang mempertimbangkan secara serius untuk bertanding di Tambun, walaupun belum ada kata putus dibuat setakat malam senalam.

Bagaimanapun, PH Perak mendesak presiden PKR itu membuat pengumuman terbuka tidak lama lagi.

“Kami mahu dia buat pengumuman (bertanding di Tambun) pada konvensyen PH di Ipoh Khamis ini.

“Itu akan jadi platform terbaik untuk dia mengumumkannya,” kata sumber.

Menurut seorang lagi sumber, "kemungkinan besar" Anwar akan bertanding di Tambun.

Sumber itu enggan menyatakan dua kerusi Lembah Klang yang juga sedang dipertimbangkannya.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Gombak adalah dalam senarai, walaupun Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari berkata muka baharu akan diletakkan di kerusi yang kini disandang oleh bekas timbalan Anwar, Azmin Ali.

Kerusi Tambun pernah menjadi kubu kuat BN tetapi dirampas oleh Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu pada 2018 ketika parti itu bersama PH.

Pada 2013, BN memenangi kerusi itu dengan 42,093 (56.2 peratus) undi, manakala PKR memperoleh 32,768 (43.8 peratus) undi.

Pada 2018, terdapat tambahan 12,089 undi di Tambun - tetapi undi BN menurun kepada 33,341 (38.3 peratus), dan PAS - yang bersekutu dengan PKR pada 2013 - menerima 14,948 undi (17.2 peratus).

Sebagai perbandingan, Bersatu yang menyertai PH memperolehi 38,661 undi (44.5 peratus).

Ini menunjukkan bahawa mereka yang mengundi pembangkang pada 2013 berpecah hampir sama rata antara PH dan PAS - manakala BN mungkin kehilangan lebih 8,000 undi kepada Bersatu ketika gelombang penentangan terhadap Najib Razak.

Corak pengundian juga menunjukkan bahawa PH dan Bersatu menyapu bersih sebahagian besar undi baru di kawasan itu.

Pada pilihan raya tahun ini tidak jelas berapa ramai pengundi yang akan kembali ke BN atau jumlah undi yang akan dibawa oleh Bersatu untuk gabungan Perikatan Nasional bersama PAS.

Bagaimanapun, dengan kehadiran pengundi baru hasil Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik - PH berpeluang memenangi Tambun jika ia boleh menarik pengundi baharu seperti yang berlaku pada 2018.

PH Perak meletakkan negeri itu sebagai barisan hadapan gabungan tersebut pada PRU15 dengan harapan untuk menawan ia semula dan mengukuhkan pegangan mereka ke atas negeri itu.

PH dan Pakatan Rakyat sebelum ini telah memenangi Perak dua kali - pada 2018 dan 2008 tetapi kedua-dua kerajaan negeri itu, kemudiannya digulingkan akibat pembelotan.

Mencalonkan Anwar di Perak akan menjadi pemangkin besar buat PH di negeri itu.

DAP juga membuat langkah berani, dan dijangka meletakkan bekas ketua pemuda Howard Lee di Gerik - kerusi luar bandar majoriti Melayu.

Tiada ulasan: