"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu bot, pemancing selamat wanita mengandung di Jambatan Pulau Pinang

Zuhainy Zulkiffli

am@hmetro.com.my

WANITA hamil yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang berjaya diselamatkan pemandu bot pancing.

WANITA hamil yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang berjaya diselamatkan pemandu bot pancing.

Georgetown: "Memang tergamam apabila melihat ada orang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, betul-betul di hadapan bot saya.

"Saya terus memandu bot yang tidak jauh daripada mangsa sebelum lihat dia sudah tenggelam dan timbul."

Demikian kata pemandu bot pancing, Mohd Sobri Karim, 37, selepas menyelamatkan wanita mengandung yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, semalam.

Mohd Sobri berkata, dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, dia baharu mengambil empat pemancing di tiang tengah jambatan dan mahu mengambil dua lagi pemancing di kira-kira Kilometer 4.0 dari arah Perai ke Georgetown.

"Kebetulan bot saya dipandu perlahan ketika melalui kawasan itu dan tiba-tiba kami terlihat kelibat sesuatu terjatuh dari jambatan, betul-betul berlaku di hadapan bot.

"Berikutan mangsa sedang tenggelam timbul serta ditolak arus, saya capai tangannya dan ikat dengan tali pengikat bot supaya dia tidak tenggelam.

"Saya dengan dibantu empat lagi pemancing kemudian perlahan-lahan menarik tali berkenaan sebelum mengangkat wanita berkenaan ke dalam bot.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi diserah kepada pasukan perubatan sebaik tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Terdahulu, video berdurasi 19 saat yang dimuatnaik Mohd Sobri di TikTok, memaparkan wanita berkenaan diselamatkan juga tular di media sosial.

Mengulas lanjut Mohd Sobri berkata, dia terus menghubungi ambulans manakala wanita yang memakai pelitup muka sambil memegang perutnya hanya menangis dan meraung ketika diselamatkan.

Katanya, wanita yang berusia lewat 20-an itu juga dipercayai sedang mengandung antara enam atau tujuh bulan.

"Dia dipercayai menaiki kereta berwarna putih dan berhenti di atas jambatan sebelum terus terjun ke laut.

"Syukurlah wanita berkenaan selamat dan yang penting bayi dalam kandungannya juga selamat bermakna dua nyawa dapat diselamatkan, " katanya.

Menurut Mohd Sobri, ia adalah kali pertama pengalamannya menyelamatkan mangsa terjun dari jambatan berkenaan.

Namun dia sudah dua kali berjaya memujuk dua mangsa supaya tidak terjun dari jambatan dalam dua kejadian berasingan.

"Terbaru minggu lalu, apabila seorang lelaki berusia 60-an mahu terjun di kilometer yang sama dan saya memujuknya supaya membatalkan niat, sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

"Kita bantu selagi boleh, semoga dengan pertolongan ini dapat beri peluang kedua kepada mereka supaya teruskan hidup," katanya.

Tiada ulasan: