"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Ada orang tertentu berdendam’, kata Cikgu Fadli selepas didapati tak bersalah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah susulan kelantangannya bersuara mengenai silibus pembelajaran yang didakwanya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Fadli menerusi siaran langsung di Facebook mengesahkan perkara itu, sekaligus menandakan guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu bebas daripada tiga tuduhan ke atasnya.

“Saya rasa kenapa saya tidak didapati bersalah adalah kerana tekanan netizen, kalau didapati bersalah, rakyat akan bangkit. Saya yakin tindakan ini kerana ada dendam orang tertentu terhadap saya.

“Ini kezaliman yang nyata dan kesalahan saya tak setimpal dengan denda yang hendak dikenakan,” katanya.

Guru sekolah rendah itu turut menyuarakan rasa berterima kasih kepada pihak menyokong dan merasakan denda yang ditujukan kepadanya sebelum ini tidak munasabah, hanya kerana lantang bersuara berkenaan isu pendidikan.

“Saya dizalimi, sebab itu sokongan orang ramai nampak, orang tak kenal saya sebelum ini pun bila dia baca pertuduhan saya kerana menulis berkenaan silibus dan sebagainya, patutkah orang ini dibuang? Tak patut, sebab itu sokongan jadi melampau,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin dilaporkan berkata, keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap guru berkenaan akan diketahui hari ini, yang akan diserahkan kepada ketua jabatan guru matematik berkenaan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pendidikan Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima surat representasi yang dikemukakan Fadli pada Jumaat lalu.

Pkharuddin memaklumkan, surat yang diterima Fadli tidak membawa maksud hukuman sudah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

Sebelum ini, Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau dalam hantaran Facebooknya menyatakan, bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang boleh memudaratkan kesihatan murid.

Tiada ulasan: