"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bertanding di Tambun, perangkap untuk kuburkan Anwar?

Balqis Jazimah Zahari

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Tambun tidak gentar dengan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Pengerusi Pemuda BN Tambun, Faridzul Azlan berkata, malah pasukannya sudah bersiap sedia untuk berdepan sesiapa atau dari parti mana yang berhasrat menentang BN di semua kerusi yang dipertandingkan termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta.

"Tiada istilah mengalah sebelum bertempur dalam kamus perjuangan Pergerakan Pemuda BN Tambun.

"Kami akan tetap meneruskan perjuangan untuk berbakti kepada rakyat khususnya di Tambun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pemuda Umno Tambun itu berkata, pihaknya yakin pengundi di Tambun bijaksana dalam menilai calon yang layak untuk mewakili mereka.

"Pastinya mereka akan memilih calon BN yang benar-benar dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran buat mereka semua.

"Kami mengajak seluruh pengundi di Tambun untuk menolak calon lompat kawasan seperti Anwar yang bukan hanya tidak setia pada rakyat yang diwakilinya, malah hanya bertanding demi kepentingan politik peribadi bukannya untuk berbakti kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, pihaknya berpendapat rencana meletakkan Anwar sebagai calon di Parlimen Tambun adalah satu perangkap yang dipasang oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menguburkan riwayat politik pemimpin besar itu.

"Insya Allah dengan kehendak Allah, segala gerak kerja yang sudah diterjemahkan oleh Pemuda BN Tambun akan memenangkan calon-calon BN di Tambun," katanya.

Tiada ulasan: