"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hujung pisau pemotong sayur terkena bahagian kanan leher adik

 Izz Laily Hussein

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Punca kematian remaja lelaki berusia 16 tahun yang terkena pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini, semalam, disahkan akibat pendarahan yang banyak pada saluran darah utama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, perkara itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendarahan berlaku akibat hujung pisau pemotong sayur dibaling kakak mangsa terkena pada arteri di bahagian kanan leher mangsa.

"Sebab kematian mangsa adalah kerana satu tusukan pisau dan hujung pisau itu terkena pada saluran darah utama (arteri) menyebabkan pendarahan yang banyak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan remaja lelaki maut dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya.

Rahmat berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sejurus insiden berkenaan dan pisau pemotong sayur itu sudah dirampas.

Katanya, tiada kecederaan lain ditemui pada mangsa.

Hari ini, kakak mangsa yang berusia 18 tahun ditahan reman enam hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rahmat dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

"Kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah," katanya semalam.

Tiada ulasan: