"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jho Low, bapa dihukum penjara kerana hina mahkamah

V Anbalagan

Jho Low, dan bapanya, Larry Lo Hock Peng, tidak diwakili setelah peguam daripada Tetuan Valen & Oh sebelum ini menarik khidmat mereka kerana tidak mendapat arahan lanjut.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara ke atas ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan bapanya, Larry Low Hock Peng, sehingga salah laku menghina mahkamah mereka dibuang.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz mengeluarkan waran komital berikutan permohonan peguam Siva Kumar Kanagasabai, mewakili 1MDB dan anak syarikat yang memulakan prosiding menghina terhadap kedua-dua individu tersebut.

Hayatul turut mengarahkan dua beranak itu membayar kos RM5,000 kepada 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Ltd, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Ltd.

Mereka tidak diwakili setelah peguam daripada Tetuan Valen & Oh sebelum ini menarik khidmat mereka kerana tidak mendapat arahan lanjut.

Sivakumar kemudiannya memberitahu pemberita, hukuman penjara itu akan terus berkuat kuasa sehingga salah laku penghinaan itu dibuang.

“Kami juga akan mengeluarkan salinan perintah komital kepada polis,” katanya.

Pada 12 Ogos, Hayatul membenarkan 1MDB dan anak syarikatnya memulakan prosiding penghinaan selepas tidak menerima sebarang maklum balas daripada Low dan Hock Peng berikutan injunksi Mareva.

Kedua-duanya sepatutnya mendedahkan aset dan lokasi mereka kepada Tetuan Skrine.

Hayatul mengeluarkan injunksi ex parte Mareva terhadap kedua-dua individu itu pada Mac untuk membekukan aset mereka, yang berjumlah USD1.43 bilion (RM6.35 bilion).

Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga kes antara plaintif dan defendan selesai.

Injunksi itu juga mengehadkan Low dan bapanya daripada membelanjakan lebih daripada RM20,000 sebulan setiap seorang untuk kos sara hidup dan guaman. Jika mereka memerlukan lebih daripada jumlah tersebut, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada 1MDB dan peguam Global Diversified.

Tahun lepas, 1MDB dan empat anak syarikatnya – Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd – memfailkan saman USD3.7837 bilion terhadap Hock Peng, Low, ibunya Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen dan sekutu Eric Tan Kim Loong.

Low, yang turut berdepan tuduhan jenayah di sini dan di Amerika Syarikat atas dakwaan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion dana 1MDB, dipercayai berada di Macau atau China.

Bagaimanapun, Beijing menafikan melindungi ahli perniagaan itu.

Notis Merah juga telah dikeluarkan oleh Interpol bagi penahanan Jho Low.

Tiada ulasan: