"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lambang PAS mungkin sukar diterima pengundi bukan Islam, Gerakan Kedah tak bertanding

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Gerakan Kedah tidak akan bertanding PRU15 kerana Perikatan Nasional akan menggunakan lambang PAS di negeri itu.

Pengerusi Gerakan Kedah, M Marimuthu Selvan, menjelaskan pihaknya mengambil keputusan untuk tidak bertanding kerana lambang PAS mungkin sukar diterima pengundi bukan Islam.

Menurut beliau, Gerakan sepatutnya bertanding di Parlimen Alor Setar dan Sungai Petani yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang ramai.

“Isu kontroversi seperti mengawal penjualan alkohol dan menutup kedai 4D bertentangan dengan kehendak pengundi Cina,” katanya kepada FMT.

“Kami ingin menggunakan logo PN namun kerana PAS bertegas mahu menggunakan logo mereka, maka kami menarik diri di Kedah.”

Marimuthu bagaimanapun menambah pihaknya akur sekiranya pimpinan pusat Gerakan menetapkan mereka harus bertanding dan menggunakan lambang PAS.

Namun buat masa ini, Gerakan meminta PN menukar kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu di Kedah dengan kerusi di negeri lain.

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen. PRU akan datang menyaksikan pertandingan bagi kerusi-kerusi Parlimen sahaja, kerana Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan.

Semalam, Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong, berkata partinya tiada masalah untuk bertanding menggunakan lambang PAS.

Menurut Marimuthu, keputusan untuk tidak bertanding di Kedah itu dibuat pimpinan pusat Gerakan hujung minggu lalu.

Beliau percaya keputusan ini tidak akan menjejaskan hubungan Gerakan dengan PAS.

“Gerakan akan terus menyokong PAS dan Bersatu dalam kempen pilihan raya mereka di Kedah,” katanya.

Tiada ulasan: