"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

A Kadir Jasin: Anwar ambil langkah 'harakiri' jika lantik Zahid jadi TPM

Yasmin Ramlan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dianggap mengambil langkah harakiri jika akhirnya dia memilih Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri atau memberikan sebarang jawatan dalam kerajaan kepada Presiden Umno berkenaan.

Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin, berkata langkah tersebut - jika diambil Anwar - hanya akan memberikan imej buruk kepada kerajaan ketika ia mula mendapat sokongan lebih ramai pihak.

“Tapi jika dia lakukannya, dia (Anwar) akan membuat tindakan harakiri.

“Dia akan hilang sokongan daripada penyokongnya sendiri dan membuatkan penyokong atas pagar - yang mula suka kepadanya - menjauhkan diri daripadanya,” kata A Kadir.

Harikiri merupakan amalan tradisional Jepun yang melibatkan perbuatan menikam atau memburaikan isi perut seseoran kerana berasa aib atau menerima hukuman mati.

Enam hari selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri, orang ramai sedang tertunggu-tunggu pembentukan kabinet baru selepas berakhirnya pilihan raya umum (PRU) pada 19 Nov lalu.

Ia semakin mendebarkan kerana Anwar berjaya menjadi perdana menteri melalui sokongan yang diberikan BN secara en bloc apabila Pakatan Harapan (PH) gagal memperoleh majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid merupakan pengerusi BN dan presiden Umno. Bagaimanapun dia kini berdepan dengan perbicaraan kes di mahkamah.

Sudah bersusah-payah

Dia diarah membela diri untuk 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Pada masa sama sejumlah pemimpin kanan dalam Umno-BN menunjukkan penentangan terhadap langkah Ahmad Zahid memberikan sokongan kepada Anwar dan PH.

Menurut A Kadir kenyataan Anwar yang menolak untuk menggunakan kenderaan jenis Mercedes Benz S600 yang dibeli Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum dia memasuki pejabat dan mengecilkan saiz kabinet merupakan tindakan yang positif.

“Tapi jikalau dia bawa masuk ‘kawan lamanya’ ke dalam kabinet, sekelip mata saja dia akan memburukkan imejnya sebagai seorang reformis dan seseorang yang berpendirian teguh terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Tambah A Kadir, langkah tersebut juga akan dianggap satu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang menyokong PH pada dua PRU lalu selepas percaya kepada prinsip gabungan tersebut mahu membina kerajaan yang bersih.

“Ayuh kita doakan dan berharap agar Anwar akan memilih untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan integriti negara berbanding pertimbangan politik jangka masa pendek dan kepentingan diri sendiri.

“Memandangkan dia telah bersusah payah untuk mencapai ke hari ini, dia tidak sepatutnya buang begitu saja peluang keemasan yang ada,” katanya.

Tiada ulasan: