"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suasana lesu di Padang Serai menjelang hari pengundian

Predeep Nambiar

KULIM: Kempen pilihan raya di Padang Serai seakan tidak bermaya memandangkan keputusan pilihan raya umum sudah diketahui walaupun pengundian di kawasan itu akan dilangsungkan, pada Rabu depan.

Kebanyakan pengundi sebenarnya sudah membuat keputusan selepas keputusan, pada pilihan raya umum, pada 19 Nov.

Pilihan raya Padang Serai ditangguh ke 7 Dis apabila calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya, meninggal dunia sebelum pengundian, 19 Nov.

Enam calon bertanding dilihat sudah memaparkan tanda kelesuan untuk berkempen dengan hari yang masih berbaki seminggu lagi. Pengundi juga kelihatan letih: apabila kurang hadir mendengar ceramah dan secara umum sudah tidak ambil peduli.

Kebanyakan pengundi ditemui FMT memberi petunjuk sama ada kekal bersama PH atau beralih kepada Perikatan Nasional (PN), yang mana gabungan itu mempunyai kelebihan selepas menguasai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Padang Serai.

Harith Hashim, 24, berkata dia kurang meletakkan kepercayaan atas janji yang dibuat ahli politik sekiranya mereka dipilih.

“Ketika Covid-19, ahli politik ini menunjukkan sikap mereka sebenar. Mereka bergaduh untuk kuasa, bukan berjuang demi rakyat. Saya tidak mahu terbabit dalam semua ini. Saya bukan dalam mood untuk pergi mengundi. Kerajaan sudah ada, apa perbezaan yang dapat saya buat?” kata mekanik itu.

M Kumaran, 37, yang menjalankan perniagaan mencuci kenderaan, berharap Ahli Parlimen baharu akan membantu perusahaan kecil mendapat pinjaman tanpa faedah daripada kerajaan tanpa sebarang kerenah birokrasi.

“Kami juga kekurangan pekerja selepas Covid-19. Ahli Parlimen baharu perlu memohon (pengambilan) pekerja asing dilonggarkan. Bagaimanapun, bagi pilihan raya ini, saya kekal bersama PH, ia adalah parti perdana menteri,” katanya.

Guru sekolah dari Sungai Seluang, yang hanya mahu dikenali sebagai Ashraf, 56, berkata PH sekadar berjanji sejak beberapa tahun lalu tanpa ada rancangan sebenar bagi mencegah banjir di kawasan berkenaan.

“Longkang terlalu kecil. Ketika pemerintahan 22 bulan, saya memaklumkan majlis daerah dan Jabatan Kerja Raya untuk melakukan sesuatu tetapi tiada apa yang berlaku. Keadaan lalu lintas juga teruk, kami sudah memohon lebih banyak lampu isyarat, namun tiada apa-apa. Oleh sebab itu, saya mahu mengundi pihak lain selain PH,” katanya.

Pekerja kilang, Nasrul Sanif, 40, berkata dia sudah “muak” dengan PH dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya akan mengundi PN, sambil menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas diberi khidmat baik oleh Exco kerajaan negeri dari PAS.

“Kami ada dua Exco yang menjadi ADUN di Padang Serai. Saya juga suka kepada Menteri Besar Sanusi Md Nor. Beliau suka berterus terang dan sentiasa mengutamakan Melayu. Jadi, saya mengundi PN.”

Bekas penganalisis pasaran dan guru bersara, D Raman, 78, berkata beliau bimbang dengan “gelombang politik biru-hijau” melanda Kedah, sambil menyatakan kegusaran sekatan terhadap kebebasan individu bukan Islam menerusi larangan penjualan alkohol dan premis nombor ekor.

Katanya, beliau berpandangan kedudukan dekat Padang Serai dengan Pulau Pinang, selain golongan pekerja yang besar dan lebih cakna politik mungkin membantu PH untuk mengekalkan kerusi berkenaan.

“Perlu diingatkan bahawa rakyat Padang Serai memilih calon India mewakili mereka di Parlimen sejak tiga penggal lalu. Ini menunjukkan mereka tidak menekankan mengenai kaum, sebaliknya apa yang mampu dilakukan,” katanya.

Parlimen Padang Serai mempunyai 133,867 pengundi membabitkan 62% Melayu, 19% India, 17% Cina and 0.72% lain-lain.

Calon bertanding membabitkan Mohamad Sofee Razak (PH); C Sivarraajh (BN), Azman Nasrudin (PN); Hamzah Abdul Rahman (Pejuang); Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).

Tiada ulasan: