"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengumuman senarai ahli kabinet ditangguh ke malam ini

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai anggota kabinet pentadbirannya pada 8.15 malam ini.

Pada mulanya Anwar dijadual membuat pengumuman itu pada jam lima petang, di mana pengamal media mula berkumpul di Putrajaya untuk membuat liputan berkenaan perkara itu.

Namun, Pejabat Perdana Menteri kemudian memaklumkan ia akan ditangguh ke malam ini.

Terdahulu, ketika berucap di majlis jamuan Kenduri Rakyat di Tambun, Perak, Anwar berkata, pengumuman itu dibuat selepas senarai berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

"Saya buat keputusan persembahkan (senarai anggota kabinet) kepada Tuanku dan Insya-Allah saya akan umumkan barisan menteri pada petang ini," kata Anwar.

Ahli parlimen Tambun itu menjelaskan biasanya jika ada pengumuman penting sebegitu dia tidak akan keluar Putrajaya bagi memberi tumpuan kepada hal-hal berkaitan.

Bagaimanapun, tambah Anwar, dia tidak dapat mengetepikan "panggilan orang Tambun dan orang Perak" yang menunggunya di majlis tersebut.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menjelaskan, ada "ratusan" orang yang layak untuk dibawa menyertai kabinet baru namun dia terpaksa membuat pilihan kerana jawatan yang disediakan adalah terbatas.

Anwar juga menjelaskan sebelum ini kerajaan sudah bersetuju untuk mengehadkan bilangan jemaah menteri dan pelantikan lain seperti duta khas.

Katanya langkah itu perlu diambil bagi menjimatkan wang negara dan dana tersebut akhirnya akan 'dipulangkan' kepada rakyat terbanyak.

Kenduri Rakyat di Tambun hari ini merupakan majlis rasmi pertama untuk Anwar sebagai perdana menteri di luar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebelum hadir ke majlis tersebut Anwar diperkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh.

Sebelum ini timbul spekulasi yang mengaitkan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Jawatan timbalan perdana menteri dijangka diberikan kepada BN selepas parti itu bersetuju menyertai kerajaan dan menjadi gabungan kedua terbesar selepas PH.

Anwar yang juga Presiden PKR dilantik sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan selepas keputusan PRU ke-15 menyaksikan tiada parti mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dia akan mengadakan mesyuarat khas bersama barisan kabinetnya Isnin ini.

Katanya, pertemuan itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat serta peraturan yang akan ditetapkan terhadap jemaah menteri.

Antaranya, kata Anwar, peraturan itu membabitkan cara mereka berdamping dan bekerjasama dengan penjawat awam, kaedah buat pengumuman mesyuarat dasar dan cara berjimat agar tidak berbelanja melebihi had.

Tiada ulasan: