"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiba-tiba isu komunis dan Israel muncul: Pas ketika jadi kerajaan juga sering membisu….

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN

Seperti biasa apabila tiba musim Pilihan Raya Umum (PRU), segala hantu jembalang muncul berkeliaran dan kali ini jembalang jenis komunis dan Israel muncul dari kubu-kubu kuat Pas.

Isu hantu komunis dan Israel ini dilepaskan secara bermusim bukan perkara baru tetapi ‘modus operandi’ taktik biasa Pas.

Semasa kerajaan dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang disokong Pas dahulu, beliau membenarkan pegawai kerajaan Israel hadir seminar di pusat konvensyen KLCC selama seminggu.

Kami membangkitkan hal ini tetapi Pas diam membisu.

Semasa Pas jadi kerajaan tahun 2020 dan Israel menyertai Ekspo Dubai 2020 yang menyebabkan Palestin menarik diri dari menyertai ekspo tersebut, Pas bukan hanya tidak membantah tetapi menyokong Malaysia menyertai ekspo tersebut.

Timbalan Menteri dari Pas, Datuk Amzad Hashim dengan megahnya mendirikan Billboard gergasi dengan gambar beliau jelas terpapar menggesa rakyat Terengganu dan Malaysia menyertai ekspo yang turut sama disertai oleh negara haram Israel.

Semasa Pas menjadi sebahagian dari kerajaan mereka tidak menganggap Israel hantu atau musuh tetapi rakan niaga kekayaan duniawi.

Semasa Pas mula berjinak dengan kerajaan dahulu mereka tidak membantah kemasukan ahli Parti Komunis Republik China ke Malaysia untuk mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur.

Yang amat menyedihkan lagi, apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencadangkan siasatan ke atas kekejaman umat Muslim minoriti Islam Uighur oleh kerajaan Komunis Republik China yang telah lama dilaporkan media antarabangsa, Pas sekali lagi membisu.

Amat memalukan 19 negara membantah siasatan, 17 negara termasuk negara bukan Islam seperti England dan negara negara Uropah bersetuju siasatan, tetapi Malaysia berkecuali sekali gus menggagalkan siasatan kekejaman oleh Rejim Komunis China ke atas umat Islam!

Mana suara Tan Sri Haji Hadi Awang Duta Khas, suara menteri penuh Tuan Ibrahim dan suara Idris Ahmad Menteri Agama apabila kerajaan Republik Komunis China menzalimi umat Islam minoriti ?

Apa motif dan agenda Pas yang kini tiba-tiba bersungguh-sungguh benar mendakwa komunis ada di Malaysia tetapi tidak membuat laporan polis pun berhubung dakwaan ini?

Jelas hari ini Pas adalah semata-mata parti politik yang bertopengkan Islam untuk memperdayakan penyokong untuk kuasa dan kedudukan.

Pas hari ini jauh berbeza Pas pada era Tok Guru Nik Aziz, yang memerangi zionis Israel dan kezaliman baik komunis atau tidak secara konsisten dan berterusan.

Pas hari ini memperkudakan Islam tanpa perjuangan yang konsisten serta berubah ubah, dan tidak jelas perjuangan demi pemimpin yang gilakan kuasa dan kedudukan duniawi.

Tiada ulasan: