"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

LANTIK ZAHID HAMIDI SEBAGAI TPM HANYA MUDARAT KECIL BERBANDING MUDARAT BESAR KERAJAAN MUNGKIN TUMBANG JIKA TIDAK MELANTIKNYA

Shahbudin Husin 

Ketika ini isu yang paling menjadi bualan susulan terbentuknya kerajaan perpaduan yang mula-mula disokong BN ialah sama ada wajar atau tidak Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Di satu pihak merasakan, berdasarkan hireaki serta kedudukannya dalam parti, beliaulah yang paling wajar diberikan jawatan tersebut.

Lebih daripada itu, sebagaimana semua orang tahu, peranan dan sumbangan serta keteguhan jiwa Zahid Hamidi mahu bersama dengan PH berbanding sebahagian Ahli Parlimen lain dalam BN yang lebih condong kepada PN, ia merupakan satu lagi kewajaran yang tidak boleh diketepikan begitu saja.

Dalam politik, malah dalam kehidupan seharian pun, berbudi, membalas budi dan mengenang budi adalah resam kehidupan yang terpuji.

Di satu pihak lain pula merasakan tidak wajar sama sekali Zahid Hamidi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana beliau masih ada kes mahkamah yang belum selesai.

Beberapa pemimpin PKR turut memberi pandangan berkenaan ketidakwajaran itu.

Mereka berhujah, jika itu berlaku, ia bukan saja mencemarkan kerajaan pimpinan Anwar nanti dan mendedahkan kepada kecaman ramai, bahkan agak memalukan kerajaan jika seorang Timbalan Perdana Menteri kerap berulang alik ke mahkamah untuk membersihkan dirinya.

Pihak ini berpendapat, selagi kesnya tidak selesai, Zahid Hamidi harus diletakkan di bangku simpanan terlebih dahulu dan hanya setelah didapati tidak bersalah, barulah beliau boleh dibawa masuk sebagai antara pemain utama dalam kabinet.

Dalam soal ini, ada dua isu yang saling berkait dengannya iaitu pertama, rule of law atau kedaulatan undang-undang yang perlu dipertahankan dan kedua, kedudukan masa depan kerajaan perpaduan.

Dari segi undang-undang, melantik seseorang yang masih ada kes dalam perbicaraan bukan merupakan suatu kesalahan atau perkara yang tidak boleh dilakukan.

Prinsip keadilan mengatakan, seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah berbuat demikian adalah suatu bentuk ketidakadilan.

Dalam kes Zahid Hamidi, memang benar beliau sedang dibicarakan, tetapi belum lagi didapati bersalah oleh mahkamah.

Kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin, seterusnya kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Ismail Sabri Yaakob juga pernah merestui pemimpin yang masih ada kes mahkamah dilantik ke jawatan utama dalam kerajaan iaitu Bung Mokhtar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada pada September 2020 yang lalu dan sehingga sekarang beliau masih memegang jawatan berkenaan.

Jika ada yang mahu bising nanti, kenapa ketika Bung Mokhtar dilantik dulu, tiada sesiapa terutama pemimpin Bersatu dan Pas yang berteriak membuat bantahan?

Perkara asas yang paling penting untuk dipertahankan ialah kerajaan mesti tidak campurtangan dalam kes beliau dan mahkamah mesti diberi jaminan untuk bertindak bebas membuat keputusan berdasarkan bukti serta keterangan yang dibentangkan..

Anwar dalam hal ini, jika memutuskan untuk melantik Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, ia bukan saja tidak bercanggah dengan rule of law dan prinsip keadilan yang disebutkan tadi, malah beliau harus kekal berpegang teguh kepada janjinya sejak puluhan tahun lagi untuk tidak campurtangan sama sekali dalam sistem kehakiman.

Jika itu dapat dibuktikan dan diyakinkan kepada rakyat, tiada apa-apa yang perlu dibimbingkan dengan termenjadinya Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Biarkan Zahid Hamidi menghadapi kesnya bersama pasukan peguamnya, cuma jika akhirnya didapati bersalah, beliau tiada pilihan lain selain mesti berundur dan meletakkan jawatannya.

Yang kedua, apa yang Anwar mesti fikirkan dan semua orang dalam PH harus rasional dalam berfikir ialah pemilihan UMNO akan berlangsung dalam tempoh enam bulan akan datang dan kiranya kepimpinan UMNO bertukar tangan, kedudukan kerajaan perpaduan ini juga bakal tergugat.

Dengan memberikan Zahid Hamidi jawatan kedua dalam kerajaan, ia bukan saja membantu beliau lebih mudah mengekalkan jawatannya sebagai Presiden UMNO, malah lebih penting dapat memastikan kerajaan perpaduan ini kekal memerintah negara.

Dalam erti kata kata lain, di sebalik kes mahkamah yang sedang dihadapinya, melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri hanyalah mudarat kecil kecil saja berbanding jika tidak diberikan apa-apa jawatan dan kemudian gagal mempertahankan jawatannya, mudarat lebih besar iaitu keruntuhan kerajaan pasti akan berlaku.

Mereka dalam UMNO yang menyokong PN dan lebih ingin Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri hanya menunggu tibanya pemilihan parti saja untuk “mengerjakan Zahid Hamidi dan seterusnya menumbangkan kerajaan perpaduan ini.

Keruntuhan kerajaan jika berlaku lagi dalam waktu terdekat ini sebagaimana tiga Perdana Menteri bertukar tangan dalam tempoh lima tahun sebelum ini, ia seperti sengaja mengundang mala petaka yang merosakkan nama negara, meruntuhkan ekonomi, menjejaskan kestabilan kerajaan yang menyebabkan tiada pelabur mahu datang, mengakibatkan kejatuhan nilai matawang dan semua itu akhirnya memberi kesusahan ketara kepada kehidupan rakyat.

Kalau ditanya pemimpin Pas yang sering memperlihatkan hukum-hakam politik di negara ini sebagai hak mereka membuat penentuan, mereka pasti setuju bahawa memilih mudarat kecil untuk mengelakkan mudarat lebih besar adalah dalil yang harus hukumnya daripada sudut agama. – ShahbudinHusin 29/11/2022.

Tiada ulasan: