"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah Muhyiddin akan redakan serangan PAS terhadap k'jaan?

Malaysiakini

Sejak Perikatan Nasional (PN) gagal meraih majoriti untuk membentuk kerajaan pasca-PRU ke-15, parti komponennya PAS melancarkan serangan tanpa henti terhadap kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan-BN.

Serangan pemimpin PAS itu dihalakan terutamanya terhadap parti komponen PH, DAP.

Dalam catatan di Facebook hari ini, PAS mengucapkan "takziah kepada Umno" yang menurutnya tewas di tangan DAP.

"Kini penyokong akar umbi Umno terpaksa patuh, jangan diusik DAP lagi. Ahli Umno juga perlu belajar untuk terima bahawa komunis adalah pahlawan negara seperti yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin DAP.

"Umno yang dahulunya memperjuangkan kemerdekaan kini terpaksa membantu DAP untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara ini.

"Tahniah DAP. Takziah Umno," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu seterusnya mendakwa Umno "dipaksa" untuk tunduk kepada DAP kerana parti PH itu mempunyai kiraan kerusi tertinggi dalam gabungan berkenaan.

"Pilihan telah dibuat, jawatan telah ditawarkan, suka atau tidak, Umno perlu menerima dan memenuhi kehendak DAP," katanya sambil mendakwa pemimpin Umno yang bersuara menentang kerjasama dengan DAP telah diketepikan.

Minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh DAP mempromosikan Islamofobia.

Jawatankuasa pusat PAS turut menuduh DAP sebagai "parasit" dengan menunggangi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli parlimen PAS Baling Hassan Saad pula mendakwa Anwar adalah ejen Israel, yang menyebabkan polis menyiasatnya atas tuduhan fitnah.

Minggu lalu, Abdul Hadi mempersoalkan pelantikan Anwar sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan analogi bola sepak, bertanya sama ada adil untuk pengadil Piala Dunia mengalihkan tiang gol.

Ini selepas PN menegaskan bahawa ia telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan, yang sepatutnya diketuai oleh pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dilihat berdiam diri

Satu lagi persoalan yang telah dibangkitkan di tengah-tengah serangan politik oleh PAS ini ialah sikap Muhyiddin yang berdiam diri berhubung perkara itu.

Kenyataan terakhir presiden Bersatu itu pada 25 Nov, ketika dia membayangkan kemungkinan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan, selepas akur dengan kekalahan pada pilihan raya.

Muhyiddin juga berkata PN akan terus kekal sebagai pembangkang bagi menyediakan peranan semak dan imbang dalam kerajaan.

Facebook Ahli Parlimen Pagoh itu juga kali terakhir dikemas kini pada 25 Nov, hari yang sama dua kenyataan di atas dikeluarkan.

Majlis Raja-Raja Melayu baru-baru ini menggesa kerajaan baru untuk menyemai "semangat kebersamaan" di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam titah selepas mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260 baru-baru ini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru agar hasutan perkauman dan agama dihentikan.

Veteran DAP Lim Kit Siang juga hari ini mencadangkan penubuhan suruhanjaya untuk menggesa Abdul Hadi dan pemimpin PAS lain mengemukakan bukti dakwaan mereka bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia.

Di samping itu, Lim berkata suruhanjaya itu juga perlu diminta membuat syor tentang cara mengelakkan Malaysia daripada terpolarisasi dan dibahagikan dengan “politik pembohongan, ketakutan, kebencian, kaum dan agama”.

Tegas Lim, pembentukan suruhanjaya itu sepatutnya menjadi isu mendesak yang harus ditangani oleh kabinet baru di bawah Anwar.

Tiada ulasan: