"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peralihan undi Melayu, belia kepada PN ‘mungkin tak tahan lama’

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik percaya masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini menjadi parti pilihan dalam kalangan masyarakat Melayu dan pengundi muda dengan kemenangan ketaranya pada PRU bulan lepas.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, beberapa faktor, termasuk kehadiran kukuh PN di TikTok, mungkin menjadi punca peralihan undi daripada Barisan Nasional (BN) kepada PN.

PN mendominasi TikTok tetapi di kerusi Melayu, pilihan calon BN dan sabotaj dalaman juga mungkin menyebabkan peralihan tersebut, katanya.

“Kita juga tidak boleh terlepas pandang bahawa PN sangat berjaya meletakkan dirinya sebagai alternatif yang ‘bersih’ kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) dan ini membantunya meraih undi Melayu dan golongan belia.”

PRU15 pada November adalah yang pertama menyaksikan Umno, selama ini dianggap sebagai parti Melayu paling dominan, gagal memenangi kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu, Melaka, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Bagaimanapun, masih belum dapat dilihat sama ada trend ini akan berterusan pada pilihan raya DUN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tahun depan.

“Pilihan raya Parlimen dan DUN berbeza. BN mendominasi PRN Melaka tahun lepas tetapi gagal memenangi malah satu kerusi Parlimen bulan lepas,” katanya kepada FMT.

Dengan PH dan BN kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan, mereka akan mempunyai kelebihan dalam menghadapi PRN.

PN guna TikTok dengan cemerlang

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PN berjaya menggunakan TikTok untuk meraih undi golongan belia.

“TikTok difahami sebagai platform paling berpengaruh dalam kalangan pengundi muda. Penggunaan pempengaruh yang memikat dari segi visual mengeluarkan kenyataan bersifat keagamaan atau perkauman yang menarik adalah bijak,” katanya kepada FMT.

Walaupun tanpa TikTok, gabungan itu berjaya menarik sokongan daripada pengundi konservatif disebabkan tarikan keagamaannya, yang disumbangkan PAS.

“Ada pengundi yang tidak tertarik dengan Umno dan PH,” katanya.

“Umno digambarkan oleh PN sebagai korup, dan PH sebagai liberal, jadi mereka mengundi PN.”

Penganalisis politik Mazlan Ali berkata, TikTok ialah sumber utama maklumat politik bagi ramai pengundi muda.

“PN menguruskan media sosial mereka, terutamanya TikTok, dengan sangat baik berbanding parti politik lain,” kata Mazlan, daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Dengan itu, PN mampu meraih undi golongan yang lebih tertumpu kepada isu perkauman dan agama.

Tiada ulasan: