"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anthony Loke: Sokong Anwar tanpa syarat, DAP sedia berkorban

BERNAMA

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini berkata satu-satunya objektif DAP dalam menyertai Kabinet adalah untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata sekiranya Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar berjaya, ia sekali gus meraih kejayaan buat negara.

"Itu sahaja objektif dalam penyertaan ini (Kabinet), kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendokong kepimpinan beliau (Anwar) dan buktikan DAP ikhlas dalam usaha dan perjuangan bagi menjayakan Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Loke berkata memandangkan DAP menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri tanpa syarat, parti itu sedia berkorban apa sahaja sebagai komitmen kepada Anwar.

"Kita menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa syarat, jadi seperti yang saya katakan tadi, pada 22 Nov sebelum beliau pergi ke Istana Negara, saya menyatakan, selagi anda (Anwar) boleh menjadi Perdana Menteri, DAP sanggup berkorban apa sahaja, itu komitmen saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Kepada soalan mengenai pelantikan empat menteri dari parti itu, Loke berkata nama-nama yang dicadangkan kepada Perdana Menteri untuk membarisi Kabinet mengambil kira kesesuaian pemimpin dalam bidang portfolio berkenaan, pembabitan wanita dan kaum India.

Beliau berkata DAP menghormati keputusan Perdana Menteri melantik empat ahli parti itu iaitu beliau sendiri sebagai Menteri Pengangkutan, Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan), Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan V. Sivakumar (Menteri Sumber Manusia).

"Ini adalah antara pertimbangan kita yang dicadangkan kepada PM tetapi kita hormati prinsip bahawa keputusan akhir berada di tangan Perdana Menteri kita. Kita sebagai parti komponen di dalam Pakatan Harapan sentiasa ada perbincangan dan rundingan, tetapi kita perlu hormat bahawa keputusan berkenaan jemaah menteri terletak di atas budi bicara Perdana Menteri," katanya.

Ditanya mengenai Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi kes mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata perkara itu (kes mahkamah) adalah di bawah bidang kuasa mahkamah.

"Itu (kes Ahmad Zahid) terpulang kepada mahkamah, ada proses mahkamah sedang berjalan. Kita dalam Kabinet hanya membincangkan agenda negara bukan agenda kes masing-masing, tidak akan disentuh dan bincang kes peribadi, hanya agenda rakyat dan negara," katanya.

Sementara itu Loke berkata mesyuarat di antara Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang diadakan sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memberi mandat untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menubuhkan kerajaan persekutuan tanpa syarat.

Beliau turut menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan baginda untuk melantik empat menteri daripada DAP, selain merakamkan penghargaan kepada Anwar di atas kepercayaan beliau terhadap ahli DAP dalam membarisi kabinetnya.

Sementara itu, Loke berkata nama-nama bagi barisan timbalan menteri belum diserahkan kerana fokus kerajaan buat masa ini adalah bagi membentuk Kabinet dalam kalangan menteri.

Tiada ulasan: