"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebai mulut busuk: Dakwaan ‘pengaruh Israel’, Anwar serah surat tuntutan maaf

FMT Reporters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menuntut penafian bertulis daripada Ahli Parlimen Baling Hassan Saad berhubung dakwaan itu.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tempoh tiga hari kepada Hassan Saad untuk memperjelaskan dakwaan dalam satu rakaman audio bahawa Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu membuat kenyataan mengenai “pengaruh Israel” dalam pelantikan beliau sebagai perdana menteri.

Dalam satu rakaman audio, seorang wanita mendakwa Ahli Parlimen Baling itu memberitahunya bahawa PAS telah memperoleh cukup undian untuk membentuk kerajaan, tetapi Anwar telah “berhubung dengan Israel” dan kuasa luar supaya campur tangan dalam pelantikannya.

Menurut surat tuntutan dikeluarkan kepada Hassan oleh Tetuan S N Nair and Partners hari ini, Anwar berkata Ahli Parlimen itu mempunyai masa tiga hari untuk memberikan pengesahan secara umum dan bertulis bahawa beliau tidak terlibat dalam perkara itu.

Menurut New Straits Times, Hassan menafikan sebarang pembabitan dengan rakaman itu.

Anwar turut menuntut supaya perkataan dan rakaman audio bersifat fitnah itu ditarik balik.

Dalam surat tuntutan itu, Anwar mendakwa telah difitnah dalam rakaman audio dimuat naik oleh pengguna Twitter “Mohd Ropi Mat Sin” dan “Pemikir Malaysia”.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, hantaran di Twitter oleh “Pemikir Malaysia” mendapat tontonan lebih 431,500 kali, reaksi “like” lebih 4,800 kali, perkongsian melebihi 3,300 kali, dan tweet semula lebih 1,400 kali.

Anwar mendakwa, hantaran itu turut “mencemarkan dan mengejek” Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang telah memperkenan pelantikannya sebagai perdana menteri.

Beliau turut menyifatkannya satu penghinaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu.

Presiden PKR itu dilantik sebagai perdana menteri susulan perbincangan Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-raja Melayu pada Khamis lalu.

Tiada ulasan: