"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah: Pelantikan Zahid tak jejas perjalanan kes mahkamah

Malaysiakini

Amanah berpendapat pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai sebahagian daripada anggota kabinet tidak akan menjejaskan perjalanan kes mahkamah yang membabitkan presiden Umno dan pengerusi BN terbabit.

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim 'terikat' dengan kenyataan bahawa Ahmad Zahid masih memimpin sebuah parti yang memberikan sokongan kepada kerajaan sekarang.

Katanya dalam PRU yang lalu BN memenangi 30 kerusi dan gabungan itu kemudian menyokong PH untuk membentuk kerajaan pusat.

"Pada asasnya tiada apa-apa kaitan prasyarat kes mahkamah dan kedudukannya dalam kabinet sebagai timbalan perdana menteri.

"Kes mahkamah Ahmad Zahid tetap berjalan seperti biasa dan apa sahaja keputusan yang dibuat mahkamah adalah bebas dan tidak akan terikat dengan kedudukan dia dalam kabinet.

"Segala pematuhan undang-undang terpakai ke atas Ahmad Zahid sebagai implikasi apa yang akan berlaku ke atas dirinya di mahkamah nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi Anwar mengumumkan barisan kabinet baru yang dipimpinnya selepas kira-kira seminggu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Imej probangsawan, elit

Antara pelantikan yang menarik perhatian - dan memang dijangkakan - ialah Ahmad Zahid selaku timbalan perdana menteri, serta menteri kemajuan desa dan wilayah.

Ia mengundang reaksi pelbagai kerana Ahmad Zahid kini dibicarakan atas puluhan pertuduhan jenayah termasuk rasuah. Dia kini di peringkat membela diri.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu merupakan salah seorang pemimpin berprofil tinggi dari BN dibicarakan di mahkamah selepas PH berjaya menjadi kerajaan kali pertama pada 2018.

Presiden Umno sebelum Amad Zahid, Najib Razak, sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah dan sedang menjalani hukuman penjara di Kajang.

Mujahid berkata satu lagi pelantikan menteri yang kontroversi ialah melibatkan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang sebelum ini kalah dalam cubaannya merampas kerusi parlimen Kuala Selangor.

Tokoh perbankan itu terpaksa tunduk kepada penyandang kerusi berkenaan, Dzulkefly Ahmad.

Kata Mujahid, Tengku Zafrul memiliki imej elit bangsawan dan ia bercanggah dengan tema prorakyat yang diperjuangkan PH.

"Bezanya kali ini Tengku Zafrul memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dijangka tugasnya ialah membawa pelaburan luar ke dalam negara.

"Mungkinkah imej elitis properniagaannya akan membantu? Kita akan tunggu dan lihat," katanya.

Mujahid juga menegaskan orang ramai perlu memahami cabaran yang dihadapi Anwar untuk membentuk kerajaan berdasarkan rancangan mengecilkan saiz kabinet dan pada masa sama memenuhi taburan komponen parti dalam kerajaan.

Pun begitu, kata bekas menteri agama terbabit, Anwar sudah menjelaskan pembentukan kabinet tersebut dibuat berdasakan keperluan, objektif dan merit, bukannya demi membalas kesetiaan.

Tiada ulasan: