"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwaan terima sogokan RM67 juta, Zahid sedia saman Raja Petra

B Nantha Kumar

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa dia akan mengemukakan saman fitnah terhadap Raja Petra Kamarudin.

Ini selepas penulis blog itu mendakwa Zahid menerima sogokan RM67 juta dalam projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

"Sebelum membuat tuduhan beliau perlu mempunyai bukti atau dokumen untuk mengemukakan tuduhan itu.

"Jika tidak saya akan mengemukakan saman malu pada beliau dan saya akan meminta peguam-peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya kepada pemberita di sidang media di kediamannya, Bagan Datuk, hari ini.

Zahid berkata kebanyakan tulisan Raja Petra sekadar spekulasi dirinya sendiri sahaja.

"Sebelum ini dia menyatakan bahawa adanya seolah-olah surat akujanji atau SD menyatakan bahawa ahli-ahli parlimen BN atau calon-calon BN menandatangani surat akuan sumpah menggunakan kepala surat BN menyokong saya sebagai perdana menteri.

"Itu surat palsu. Ini menunjukkan Raja Petra tidak mempunyai kredibiliti.

"Jadi, saya setuju bahawa SPRM perlu siasat untuk (Raja Petra) tidak mempunyai kredibiliti dan asas untuk tuduhan sedemikian," katanya.

Terdahulu, penyandang parlimen Bagan Datuk itu diminta mengulas dakwaan Raja Petra yang mengaitkannya dengan projek LCS.

Raja Petra sebelum ini menuduh Zahid selaku timbalan perdana menteri menerima wang sogokan daripada kontraktor projek menerusi lapan bayaran secara berperingkat antara 2012 dan 2013.

Dia mendakwa urus niaga itu dipermudahkan melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sebelum ini berkata, suruhanjaya itu akan bertemu Raja Petra yang membuat dakwaan itu sebelum memutuskan apakah perlu memanggil Ahmad Zahid untuk disoal siasat berhubung kontrak LCS itu.

Azam juga berkata pihaknya perlu meneliti dokumen yang diperolehi terlebih dahulu.

Pasukan SPRM yang ditugaskan untuk bertemu Raja Petra - dipercayai berada di England - akan bertemu penulis blog itu di lokasi di luar negara yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Azam berkata, lokasi dan masa belum dapat dipastikan tetapi menyatakan pertemuan itu tidak semestinya berlangsung di UK.

Menurutnya, siasatan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas kes LCS yang sedang berjalan.

Suruhanjaya itu sebelum ini menyiasat kes itu di bawah Seksyen 17 Akta SPRM berkaitan rasuah dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan bagi kes pecah amanah.

Tiada ulasan: