"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teresa Kok hantar surat kepada SPR bantah Jamal jadi calon Sungai Besar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penyandang Parlimen Seputeh Teresa Kok menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantah keputusan Barisan Nasional (BN) menamakan Jamal Yunos sebagai calon Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Kok mendakwa Jamal, yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar, masih belum menyelesaikan syarat penghakiman dalam saman difailkan terhadapnya, yang mungkin menyebabkan beliau diisytiharkan muflis.

Pada 26 Julai, Mahkamah Tinggi memutuskan Jamal bertanggungjawab memfitnah Kok pada 2017 dengan menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas (SMUE) milik kerajaan negeri.

Mahkamah mengarahkan Jamal membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 dan RM50,000 sebagai kos.

Pada 18 Sept, Kok dilaporkan memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal selepas beliau gagal menjelaskan jumlah wang itu.

“Sehingga hari ini, (Datuk Seri) Jamal Md Yunos masih belum menyelesaikan penghakiman tersebut dan prosiding kebankrapan saya terhadap beliau masih berlangsung. Ada kemungkinan beliau akan dihukum muflis akibat prosiding kebankrapan tersebut.

“Saya telah menghantar surat bantahan kepada Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh mengenai perkara itu,” kata Kok, yang akan bertanding semula di Seputeh pada PRU15.

Bagaimanapun, maklumat di laman sesawang SPR menyatakan seseorang individu hilang kelayakan untuk menjadi calon dalam pilihan raya negeri atau Parlimen jika belum dilepaskan sebagai muflis.

Diminta mengulas mengenai surat Kok kepada SPR, Thomas Fann, pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih berkata, SPR tidak boleh secara sah menolak Jamal sebagai calon untuk PRU15 kerana beliau belum diisytiharkan muflis.

“Bagaimanapun, jika beliau memenangi kerusinya di Sungai Besar dan prosiding kebankrapan telah dimuktamadkan, beliau perlu mengosongkan kerusinya dan pilihan raya kecil diadakan,” katanya.

“Dari segi politik, Umno mungkin mahu mempertimbangkan semula calon sedemikian yang mungkin hilang kelayakan tidak lama selepas pilihan raya, isu yang akan dieksploitasi oleh calon lain di Sungai Besar.”

Fann turut menegaskan bahawa Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen jika pengisytiharan bankrap belum dilepaskan.

Tiada ulasan: