"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU15: Saingan sengit di kerusi Parlimen Pahang

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Walaupun Pahang mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen serentak pada 19 Nov, perhatian tertumpu kepada kerusi Dewan Rakyat kerana Barisan Nasional (BN) mungkin mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, bakinya milik PAS dan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, dengan 14 kerusi Dewan Rakyat, Pahang akan menjadi medan pertempuran paling hangat di beberapa Parlimen.

Ini termasuk Parlimen Bera ditandingi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), bekas perdana menteri Najib Razak (Pekan) serta Bentong, yang dimenangi Wong Tack daripada DAP pada 2018.

Pada PRU14, Ismail menang di Bera dengan majoriti 2,311 undi. Beliau mengalahkan calon PAS dan PKR.

Ismail dijangka meneruskan tugasnya di Putrajaya dan pengumuman BN bahawa beliau adalah calon perdana menteri untuk gabungan itu, mampu memberi kelebihan kepadanya.

Di Indera Mahkota, PKR akan berusaha merampas semula kerusi itu selepas Saifuddin meninggalkan parti berkenaan.

Saifuddin memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 10,000 undi tetapi “pengkhianatannya” kepada Perikatan Nasional bermakna, ia akan menjadi tugas berat baginya untuk mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, yang menyumbang 33% daripada pengundi Indera Mahkota.

Satu lagi kerusi panas ialah Bentong di mana DAP menggugurkan Wong Tack dan memilih penyandang ADUN Ketari, Young Syefura Othman.

Young Syefura dijangka menentang Wong yang mahu bertanding sebagai calon bebas, dan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bentong antara 2004 dan 2018.

Pada pilihan raya lalu, Wong Tack menang dengan hanya 2,000 undi, namun pertarungan di Bentong kali ini berkemungkinan menyaksikan lebih ramai calon berbanding tiga penjuru pada 2018.

Berikutan pemenjaraan Najib selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International, timbul spekulasi bahawa anaknya Nizar akan menggantikannya dan bertanding di kerusi Pekan.

Bagaimanapun, ia dinafikan apabila Sh Mohmed Puzi Ali diumumkan sebagai calon Umno di Parlimen Pekan.

Tiada ulasan: