"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MIC tarik diri PRU15: Bukan isu besar, kata pemimpin BN

Chia Wan Rou

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menepis khabar angin kemungkinan parti komponennya, MIC akan menarik diri daripada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil, berkata beliau “tidak tahu” ketika ditanya berhubung perkara itu.

“Saya tidak tahu. Saya rasa mereka masih menyelesaikan pembahagian kerusi.

“Mereka kawan lama, jadi saya rasa kita kekal bersama untuk PRU15,” katanya di ibu pejabat Umno malam tadi.

Beliau ditanya sama ada MIC akan menarik diri daripada gabungan itu selepas parti berasaskan India terbabit berkata ia akan memutuskan hari ini sama ada bertanding pada PRU15 atau sebaliknya.

Semalam, BN mengumumkan calon akan bertanding pada PRU15, namun pemimpin MIC termasuk presidennya SA Vigneswaran tidak kelihatan dalam majlis tersebut.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Vigneswaran sebagai calon bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput.

Terdahulu, FMT melaporkan bahawa pemimpin MIC akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk menentukan sama ada parti itu bertanding pada PRU15.

Menurut laporan The Malaysian Insight, Vigneswaran berkata mesyuarat tergempar itu akan membuat keputusan sama ada MIC terima atau tolak kerusi ditawarkan kepada mereka, atau tidak bertanding PRU15.

Sementara itu, Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein, berkata beliau tidak menganggap apa yang dilakukan MIC itu adalah isu besar.

“Itu bukan satu isu besar kerana hari penamaan calon adalah pada 5 Nov. Seperti (BN Sabah), mereka memutuskan untuk mengumumkan calon dalam masa beberapa hari lagi.

“Jadi saya rasa tiada masalah MIC melakukan perkara sama,” katanya.

Hishammuddin berkata, beliau tidak akan melayan khabar angin bahawa MIC akan menarik diri daripada BN.

Tiada ulasan: