"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas YB PAS Che Abdullah pertahan Tumpat atas tiket BN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi akan bertanding mewakili gabungan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, berkata berkata BN memberi laluan kepada Che Abdullah kerana dianggap sebagai calon boleh menang.

“Teka-teki sudah terjawab dan Che Abdullah akan bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat. Kita rasa satu kelegaan apabila Che Abdullah bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

“Malah, akar umbi Umno Tumpat juga menerima baik kehadiran Che Abdullah,” katanya menurut Berita Harian.

Jazlan berkata, pihaknya akan memberikan saingan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) di Parlimen itu.

“Kita akui menawarkan kerusi berkenaan kepada Che Abdullah dan BN memang mengadakan pertemuan dengan beliau,” katanya.

Pada majlis pengisytiharan calon PN Kelantan malam tadi, penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat, Che Abdullah, masing-masing daripada PAS digugurkan daripada senarai calon PN pada PRU15.

Pengerusi PN Kelantan, Ahmad Yakob, berkata Parlimen Bachok menyaksikan PN meletakkan muka baharu, Muhamad Syahir Che Sulaiman sebagai calon.

Bagi kerusi Parlimen Tumpat, PN mengumumkan exco Kelantan, Mumtaz Md Nawi sebagai calon di kerusi berkenaan.

Tiada ulasan: