"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kontroversi Jana Wibawa: Apa berlaku setakat ini

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Dua pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa rasuah minggu lalu berkait program Jana Wibawa.

Program itu mendapat perhatian selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan kos pelaksanaan inisiatif terlalu tinggi dan tidak melalui proses tender.

Justeru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan beberapa siasatan bagi mendapat gambaran jelas apa sebenarnya berlaku.

Ini apa yang berlaku setakat ini.

Garis masa

Program Jana Wibawa diperkenal pada November 2020 oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 bertujuan membantu kontraktor Bumiputera.

Terdapat 56 projek di bawah program Jana Wibawa bernilai RM6.3 bilion, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Awal bulan ini dilaporkan, Bersatu menerima sumbangan dipercayai lebih RM300 juta daripada kontraktor bagi projek Jana Wibawa.

Susulan perkembangan itu, SPRM bertindak membekukan akaun Bersatu.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, menafikan dakwaan kerajaan ditadbir ketika itu menyeleweng RM92.5 bilion. Beliau yakin SPRM akan membersihkannya dari sebarang salah laku.

Pada 21 Feb, Wan Saiful, yang juga ketua penerangan Bersatu, dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta bagi projek jalan di bawah skim itu.

Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan pula didakwa meminta dan menerima rasuah RM500,000 bagi membantu MIE Infrastructure dan Energy Sdn Bhd, memperoleh surat setuju terima bagi pembinaan projek jalan di Perlis.

Wan Saiful dan Adam Radlan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Ahli perniagaan, Teo Wee Cheng, pengarah SSH Furniture Sdn Bhd berpangkalan di Pagoh, didakwa hari berikutnya kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12.8 juta bagi membantu dua syarikat mendapatkan kontrak di bawah program Jana Wibawa.

Persoalan timbul mengapa syarikat Bumiputera yang akhirnya mendapat manfaat penuh daripada inisiatif itu memerlukan bantuan Teo mendapatkan kontrak dan sama ada hanya kebetulan syarikat berpangkalan di Pagoh, kawasan Parlimen diwakili Muhyiddin.

Apa berlaku semenjak itu?

Wan Saiful kemudian meletak jawatan ketua penerangan, sambil menyatakan tindakannya menunjukkan Perikatan Nasional (PN) “berpegang pada janji” apabila melibatkan integriti dan membasmi rasuah.

Muhyiddin menerima peletakan jawatannya dan menyatakan tindakan Wan Saiful tidak bermakna beliau bersalah, tetapi meletakkan standard apabila tuduhan dikenakan ke atasnya.

Adam Radlan berdepan dua lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkait Jana Wibawa.

Minggu lalu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion ditangguhkan, sementara menunggu semakan sekiranya projek itu tidak menepati prosedur Perbendaharaan.

Bagaimanapun, Zahid berkata, penangguhan itu tidak menjejaskan pelaksanaan projek, terutama membabitkan kerja tebatan banjir.

Tiada ulasan: