"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua Wanita Umno: Shahrizat Lebih Berpeluang Menang

Shahbudin Husin 

Sebelum ini, saya pernah menulis yang menyatakan, daripada Shahrizat Jalil memimpin kembali Wanita UMNO, lebih baik pergerakan itu diketuai oleh Azalina Othman Said.

Dengan rekod pernah mengetuai Puteri UMNO serta berprestasi agak cemerlang sebagai menteri kabinet, Azalina diyakini mampu memulihkan Wanita UMNO yang sedikit malap sejak diterajui Noraini Ahmad.

Noraini bukan saja malap dalam memimpin Wanita UMNO, malah juga tidak cemerlang sebagai menteri kabinet selama 31 bulan di bawah era Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Sebab itu, Azalina dirasakan calon paling sesuai mengambil alih teraju Wanita UMNO.

Tetapi, sehingga pencalonan ditutup, Azalina ternyata tidak berminat untuk memimpin Wanita UMNO, sebaliknya memilih untuk memeriahkan pertandingan bagi merebut salah satu kerusi Naib Presiden.

Rupa-rupanya, baru diketahui bahawa sekiranya Azalina memilih untuk bertanding sebagai Ketua Wanita UMNO, Shahrizat sendiri akan menarik diri dan tidak bertanding sebarang jawatan.

Beliau hanya sedia mengemukakan borang pencalonannya bagi jawatan Ketua Wanita setelah pasti Azalina tidak bertanding bagi jawatan tersebut.

Makna kata, Shahrizat sendiri mengakui Azalina adalah pemimpin yang boleh mengembalikan Wanita UMNO sebagai sayap politik yang cergas, aktif dan disegani sebagai sebelum ini.

Dengan pertandingan hanya satu lawan satu antara Noraini yang akan dicabar oleh Shahrizat, di atas kertas dan berdasarkan tinjauan setakat ini, saya dapati peluang Shahrizat untuk kembali memimpin Wanita UMNO adalah jauh lebih cerah.

Gerombolan demi gerombolan pemimpin Wanita yang mendesak agar Shahrizat kembali memimpin pergerakan itu pada asasnya ialah kerana ketidakmampuan Noraini menjelmakan kepimpinan yang berkesan sejak 2018 lalu.

Desakan untuk memujuk dan menarik kembali Shahrizat sebenarnya telah dilakukan sejak lebih setahun yang lalu, bukan sehari dua ini.

Wanita UMNO dikatakan bukan saja tidak seaktif dan semeriah sebelumnya sejak dipimpin oleh Noraini, malah tidak lagi terlihat gah di mata rakyat umum.

Sehingga ada yang mendakwa, salah satu sebab kemerosotan UMNO dalam PRU15 lalu dengan hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen saja, salah satu sebabnya dikatakan adalah kerana gerak kerja Wanita UMNO yang kurang berkesan.

Bimbang kemerosotan lebih buruk lagi dalam sekian banyak pilihan raya di masa depan, kepimpinan Shahrizat diyakini oleh ramai Wanita UMNO seluruh negara mampu memulihkan semula pergerakan itu.

Meskipun ada isu tertentu seperti NFC dan kembalinya beliau merupakan langkah ke belakang, sebilangan Wanita UMNO percaya isu kemalapan pergerakan itu lebih penting untuk dipulihkan.

Berikutan Shahrizat juga diketahui mempunyai hubungan yang baik lagi mesra dengan sebilangan besar pemimpin utama UMNO dan kerajaan ketika ini, beliau dipercayai mampu berperanan dengan lebih baik lagi memimpin Wanita UMNO.

Tidak saja beliau mempunyai hubungan baik serta lama dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, lebih daripada itu Shahrizat juga tiada masalah dalam hubungannya dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Bahkan sejak Anwar dalam UMNO lagi, Shahrizat mempunyai hubungan yang baik dengan bellau, apatah lagi kedua-duanya pula berasal daripada Pulau Pinang.

Ertinya, di samping berpeluang lebih cerah memperolehi kemenangan atas faktor untuk memulihkan kemalapan Wanita UMNO sekarang ini, selepas menang nanti, Shahrizat juga lebih mudah membawa pergerakan itu bersama-sama dengan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar dalam memaknai lagi perjuangan Malaysia Madani untuk masa depan negara ini. – ShahbudinHusin 28/02/2023.

Tiada ulasan: