"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Rangsang pendapatan B40 lebih baik banding beri bantuan tunai

Lynelle Tham

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempertahankan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan menegaskan bantuan tunai tidak membantu golongan miskin tegar dan B40 sebelum ini.

Rafizi berkata, program kerajaan bagi mengurangkan kemiskinan sejak tiga hingga empat dekad lalu sekadar dalam bentuk bantuan tunai. Katanya, dalam keadaan itu pemohon tidak disoal mengenai keperluan serta perancangan mereka bagi menjana atau meningatkan pendapatan.

“Bagaimana jika mereka kata tidak mahu buat apa-apa? Ini menyusahkan kerana mungkin perlu terus beri mereka wang tunai untuk tempoh tidak ditetapkan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas forum di sini, Rafizi berkata pemberian bantuan tunai meletakkan keseluruhan risiko merancang dan menjana pendapatan di bahu golongan miskin tegar, sedangkan mereka mungkin tidak mempunyai ilmu dan sumber diperlukan bagi menjalankan perniagaan.

“Kerana itu ia dibuat berdasarkan ‘templat’. Mereka perlu diatur mengikut sesuatu ‘templat’.

“Kebarangkalian kejayaan lebih tinggi apabila wujud ekosistem yang dapat membantu mereka,” katanya mengulas kritikan terhadap IPR.

Program IPR berjumlah RM750 juta itu melibatkan tiga inisiatif, iaitu Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Program itu akan memanfaatkan sektor awam, swasta dan masyarakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi bagi menangani kemiskinan dan ketaksamaan dalam negara.

Intan akan melihat Putrajaya membuka tanah kerajaan persekutuan seluas 800 ekar (324ha) bagi memberi peluang kepada rakyat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian.

Insan pula melibatkan penjualan makanan siap pada harga serendah RM2 melalui mesin layan diri, manakala Ikhsan akan mengambil pekerja mahir dalam penyelenggaraan dan perkhidmatan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja di sektor awam.

Dianggarkan 150,000 orang mendapat manfaat daripada inisiatif itu untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Tiada ulasan: