"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kejayaan, kesilapan Anwar sepanjang 100 hari jadi PM

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Hari ini genap 100 hari Anwar Ibrahim memegang jawatan perdana menteri selepas hampir tiga dekad menjadi ketua pembangkang.

Sejak mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov 2022 pelbagai usaha dilakukan Anwar dan kerajaan perpaduan pimpinannya, ada yang mengena dan ada tersasar.

FMT mengimbau peristiwa dan detik penting sepanjang 100 hari pertama Anwar menjadi perdana menteri ke-10.

KEJAYAAN

Pindaan perlembagaan mengenai kerakyatan

Bulan lalu, Jemaah Menteri bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia mendapatkan kerakyatan secara automatik.

Ketika ini, wanita Malaysia perlu melalui proses panjang untuk memohon kerakyatan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Hidangan Menu Rahmah RM5 untuk golongan miskin tegar

Pada Januari, kerajaan melancarkan inisiatif Menu Rahmah yang menyaksikan lebih 15,000 restoran menawarkan hidangan berharga RM5. Bilangan restoran mengambil bahagian dijangka meningkat dua kali ganda bulan ini.

Potongan 20% gaji menteri sehingga ekonomi pulih

Pada Disember, Anwar mengumumkan gaji menteri akan dipotong 20% sehingga ekonomi pulih sepenuhnya. Beliau sendiri tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau turut menolak menggunakan kereta Mercedes-Benz S600 yang baharu sebagai kenderaan rasminya untuk menjimatkan kos.

Manfaat lebih baik bagi Sabah, Sarawak

Geran khas tahunan untuk Sarawak disemak dan dinaikkan kepada RM300 juta, manakala bagi Sabah RM260 juta. Kedua-dua negeri itu turut diberi autonomi berhubung projek infrastruktur bernilai kurang RM50 juta.

Subsidi bersasar tarif elektrik

Kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar tarif elektrik untuk isi rumah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertanian. Langkah itu akan menjimatkan kira-kira RM4.16 bilion bagi kerajaan.

KESILAPAN

Anwar pegang dua jawatan

Keputusan Anwar menerajui Kementerian Kewangan mengundang kritikan dan menimbulkan kebimbangan mengenai kurangnya semak dan imbang. Sebelum ini, pemimpin Pakatan Harapan (PH) membidas perdana menteri kerana turut memegang jawatan lain.

Pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan PM

Anwar menerima kecaman selepas anaknya, Nurul Izzah, dilantik menjadi penasihat kanannya dalam hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Nurul Izzah kemudian melepaskan tugas itu susulan kritikan berhubung nepotisme.

Peruntukan pembangunan Ahli Parlimen dikurangkan

Kedua-dua blok politik tidak menyambut baik langkah kerajaan mengurangkan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen sebanyak hampir 70%, iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Ramai menyuarakan kebimbangan langkah itu akan memberikan impak besar bagi kawasan luar bandar.

Peruntukan tidak sama rata Ahli Parlimen

Kerajaan dikritik atas kekurangan peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang dalam Belanjawan 2023 yang baharu.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyebut bahawa peruntukan sama rata terkandung dalam manifesto PH.

HANGAT DIBAHASKAN

Pelantikan dua timbalan perdana menteri

Pelantikan Fadillah Yusof sebagai timbalan perdana menteri pertama dari Malaysia Timur dipuji ramai pihak, dikatakan langkah mengiktiraf kepentingan negeri Borneo.

Bagaimanapun, pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang lagi timbalan perdana menteri menimbulkan pertikaian kerana presiden Umno itu masih berdepan kes mahkamah membabitkan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Cukai jalan digital

Pada 10 Feb, kerajaan mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan pada kenderaan mereka.

Ada yang mengalu-alukan langkah itu, manakala yang lain menyuarakan kebimbangan mengenai kesesakan akan berlaku di sekatan jalan raya kerana pihak berkuasa perlu menggunakan sistem untuk menyemak cukai jalan kenderaan.

Pusat sehenti pengambilan pekerja asing dikembalikan bawah KDN

Pada 22 Dis, kerajaan mengembalikan pusat sehenti untuk pengambilan pekerja asing bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), enam bulan selepas pentadbiran terdahulu meletakkannya bawah Kementerian Sumber Manusia.

Kumpulan majikan berbeza pandangan mengenai langkah itu, dengan segelintir mengatakan ia merumitkan proses pengambilan pekerja, manakala yang lain berkata, birokrasi adalah masalah sebenar.

Sosma tidak disemak semula

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dikritik ahli politik dan kumpulan hak asasi manusia selepas beliau mengumumkan kerajaan tidak akan menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Beberapa individu, termasuk bekas ketua polis negara Musa Hassan, berkata Sosma tidak patut dimansuhkan, sebaliknya hanya perlu ditambah baik.

Belanjawan 2023

Pada 24 Feb, Anwar membentangkan belanjawan berjumlah RM388 bilion bagi 2023. PKS antara penerima manfaat terbesar dan menerima pelbagai inisiatif dalam belanjawan itu, tetapi penjawat awam, pemain industri pelancongan dan beberapa Adun Sarawak berkata, ia tidak mencapai jangkaan mereka.

Ada pihak lain turut mengatakan kerajaan terlepas peluang untuk menyelesaikan isu struktur dalam ekonomi.

Tiada ulasan: