"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan UMNO: Khir Toyo buat kemunculan semula

MALAYSIADATELINE

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Lenggong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata beliau dimaklumkan Bahagian Lenggong hanya menyaksikan pertandingan di peringkat Wanita dan Timbalan Pengerusi Tetap.

“Di Lenggong, yang saya dimaklumkan akan ada pertandingan di peringkat Wanita sahaja. Ketua Wanita ada dua calon, Naib Ketua Wanita pun ada dua calon, selepas itu jawatankuasa ada ramailah.

“Pengerusi Tetap bahagian tak bertanding, Timbalan Pengerusi Tetap bahagian ada dua calon,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.

Saarani juga berkata UMNO Perak akan menyokong calon dari negeri itu bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Mereka ialah Ahli MT UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun, Ketua Pemuda UMNO Perak Datuk Mohd Ariff Abdul Majid dan Ketua UMNO Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad.

Di SELANGOR, bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo mencabar penyandang Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi merebut jawatan itu, kata Bendahari Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Kamaruzzaman Johari.

Beliau berkata bekas exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fatah Iskandar turut membuat kemunculan semula dengan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat menentang penyandangnya, Datuk Zurihan Yusop.

Kamaruzzaman juga berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja manakala Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat Datuk Johan Abd Aziz kekal menyandang jawatan itu susulan tiada pencabar. 

“UMNO Selangor menyaksikan pertandingan empat penjuru di dua kawasan iaitu Kuala Selangor dan Puchong, tiga penjuru di Hulu Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam manakala 15 bahagian berdepan saingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tujuh individu bertanding bagi jawatan Ahli MT UMNO iaitu Tengku Zafrul, Jamal, Johan, Ketua Bahagian Hulu Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Setiausaha Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar, Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil dan Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarikh Khan. 

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini. 

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

— BERNAMA

Tiada ulasan: