"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya dipukul majikan Malaysia setiap hari, dakwa bekas amah Indonesia

FMT Reporters
PETALING JAYA: Sebelah telinga mengalami kecacatan, empat gigi hilang dan parut di bibir atas antara peringatan buat Meriance Kabu terhadap pengalamannya bekerja di Malaysia selama lapan bulan.

Pengalaman pahit yang didakwa dilalui warga Indonesia itu diperincikan dalam laporan BBC Indonesia, di mana beliau mendakwa majikan memukulnya setiap hari sehingga lebam dan berdarah.

Meriance, yang berusia 32 tahun ketika itu, berkata majikannya juga tidak membenarkan beliau meninggalkan pangsapuri di Ampang, tempat kerjanya.

Menceritakan pengalaman ngerinya, wanita itu mendakwa majikan turut menderanya menggunakan seterika panas, penyepit kecil, tukul, baton dan playar.

Katanya, ia bermula tiga minggu selepas mula bekerja apabila tersilap memasukkan ikan dalam penyejuk beku, bukannya peti sejuk. Beliau dipukul dengan ikan beku menyebabkan kepalanya berdarah.

Meriance mendakwa dipukul setiap hari selepas itu.

Ibu kepada empat anak itu mendakwa penderaan itu hanya berhenti apabila majikannya penat dan beliau diarah membersihkan darahnya sendiri yang terpercik di lantai serta dinding.

Lapan bulan kemudian, Meriance menulis nota berhubung nasibnya dan membuangnya ke luar pintu pagar besi berkunci.

“Tolong saya, saya diseksa majikan. Saya bermandi darah setiap hari, tolong saya!” tulisnya.

Seorang jiran yang menemui nota itu menghubungi pihak berkuasa dan Meriance diselamatkan pada hari sama.

BBC Indonesia melaporkan penderaan dialami Meriance sangat teruk sehingga suaminya, Karvius tidak mengenalinya selepas beliau diselamatkan.

Majikannya didakwa pada 2015 atas tuduhan cubaan membunuh, menyebabkan kecederaan serius, pemerdagangan manusia dan pelanggaran imigresen, tetapi pendakwa raya menggugurkan kes itu pada 2017 atas alasan bukti tidak mencukupi.

Duta Besar Indonesia, Hermono yang menemui Meriance Oktober lalu, berkata pihaknya sudah melobi untuk kes itu dibuka semula.

Kementerian Luar Malaysia memberitahu BBC Indonesia, ia akan “memastikan keadilan dilaksanakan mengikut undang-undang”.

Majikan diheret ke mahkamah semula

Peguam CR Selva memberitahu FMT, bekas majikan Meriance didakwa semula Januari lalu, dengan kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen Ampang.

Selva, yang menjalankan arahan memerhati untuk kedutaan, berkata majikan terbabit, Serene Ong Su Ping dan Sang Yoke Leng dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 2017.

Sang dan Ong kini berdepan tuduhan pemerdagangan manusia, dengan Ong turut didakwa atas cubaan membunuh serta mendatangkan kecederaan dengan senjata atau cara berbahaya.

Kes itu akan disebut semula pada 17 April ini.

Tiada ulasan: