"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar dianugerah ijazah kehormat Universiti Filipina

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang atau honoris causa oleh Universiti Filipina (UP) dalam majlis yang diadakan di Dewan Villamor universiti berkenaan di Manila hari ini.

Menurut kenyataan universiti itu, Anwar dianugerahkan ijazah kehormat berkenaan kerana menjadi sarjana dan memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi serta keperluan akauntabiliti.

Ijazah kehormat berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Tinggi Pendidikan Filipina J. Prospero E. De Vera III serta Presiden dan Pengerusi Bersama Lembaga Regen UP Angelo A. Jimenez.

“Perdana Menteri Malaysia menyanjungi kehidupan, karya dan pengajaran Jose Rizal.

“Minat Anwar terhadap Rizaliana semakin mendalam setelah kerap mengunjungi UP semasa muda di bawah bimbingan mendiang Prof Emeritus Sejarah Universiti dan Dekan Kolej Seni dan Sains UP Diliman Cesar Adib Majul,” menurut Naib Canselor Hal Ehwal Awam UP Jose Wendell Capili.

Beliau berkata Anwar dihormati kerana memiliki prinsip menentang rasuah dan pengurusan terhadap ekonomi Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia.

Anwar tiba di Manila semalam untuk lawatan rasmi dua hari, yang merupakan lawatan rasmi kelimanya ke negara ASEAN sejak dilantik sebagai perdana menteri akhir tahun lepas.

Sebaik tiba, beliau diberi sambutan rasmi oleh Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr di Istana Malacanang.

Capili turut berkata usaha Anwar telah menyelamat ekonomi Malaysia ketika Krisis Kewangan Asia 1997 dan menerima pujian termasuk Asian of the Year daripada Newsweek International.

Terdahulu, Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi hari kedua ke republik berkenaan dengan menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Rizal Park, di sini.

Beliau disambut oleh Datuk Bandar Manila Honey Lacuna-Pangan dan Ketua Staf Tentera Laut Filipina Laksamana Jose M-A Ambrosio Q Ezpeleta.

- Bernama

Tiada ulasan: