"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu: ’10 tahun lagi saya mahu lihat para petani pula jadi rebutan’

KIM SYAZIE

Dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan golongan petani, Datuk Seri Mohamad Sabu bertekad mahu menjadikan sektor pertanian dalam negara sebagai satu bidang kerjaya yang dibangga-bangga dalam masa 10 tahun akan datang.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tidak mahu pekerjaan sebagai petani dilihat sebagai kerja yang memalukan, sebaliknya mahu ia dipandang sebagai potensi besar dijadikan kerjaya buat anak muda 

Secara bersahaja Mohamad berkata, beliau mahu 10 tahun akan datang golongan petani menjadi pilihan ‘menantu’ dan dipandang orang.

“Dulu pada tahun 60an, kalau nak pergi meminang anak orang, askar yang dapat sambutan paling tinggi. Sebab isteri dapat elaun RM50.

“Tahun 80an pula cikgu jadi pilihan wanita sebab segak. Tahun 2000 ke atas ‘Supervisor’ kilang pula jadi rebutan sebab gaji yang baik.

“Saya mahu 10 tahun lagi pilihan gadis jelita ialah para petani kerana saya lihat perubahan ini sedang berlaku,” katanya memetik laporan Harapan Daily.

Presiden AMANAH itu juga berkata, beliau melihat anak-anak muda sudah mula menceburkan diri dalam bidang pertanian, mengusahakan tanah-tanah sebagai kerja tetap mereka.

Beliau meluahkan rasa bangga melihat anak muda mula menerapkan penggunaan teknologi dalam pertanian seperti membawa dron untuk menabur baja, benih dan sebagainya.

“Bila kita tanya petani, kamu kerja apa? Dia jawab ‘aku tak ada kerja, aku buat bendang je’. Dia anggap buat bendang itu bukan kerja.

“Saya harap dapat beri penekanan terhadap usaha angkat golongan petani. Saya akan beri motivasi, saya akan bercakap pada golongan petani supaya berlaku perubahan minda orang yang terlibat dalam bidang pertanian ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: