"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amboi bengisnya di masjid

Mohsin Abdullah

Jumaat lalu sembilan hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Khutbah Jumaat minggu lalu yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan membicarakan tajuk: Ramadan Dihidupkan, Rumah Allah Diimarahkan.

Antaranya khutbah berkenaan menyaran umat Islam merebut peluang di bulan penuh barakah dengan mengimarahkan rumah Allah, sesuai tajuknya. Masjid dan surau, kata khatib yang menyampaikan khutbah, tempat terpenting dan paling mulia dalam kehidupan umat Islam. Kewujudannya bagi memenuhi kewajipan ibadah disamping berperanan sebagai tempat menyemarakkan penyatuan umat Islam.

Dua hari lalu pula Yang di-Pertuan Agong bertitah di satu majlis di Melaka agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak. Sesungguhnya ini seruan raja-raja Melayu selaku ketua agama Islam, peringatan yang kerap disuarakan. Seri Paduka bertitah masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia, dan dihormati sekaligus menjadi contoh kepada agama-agama lain.

“Kita tak mahu adanya institusi masjid ini tempat kita berpecah-belah. Nauzubillah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid ini dipelihara oleh kita umat Islam, bukan pemimpin semata-mata tetapi kariah masjid berkenaan,” titah baginda.

Berbalik kepada khutbah Jumaat 31 Mac lalu. Ia menegaskan juga seiring dengan tuntutan arus kemajuan masa kini, masjid dan surau perlu terkehadapan dalam urus tadbirnya agar ia lebih berdaya maju dan cekap mendepani keperluan umat Islam. Benar. Lantas sesuatu mesti dilaksanakan. Segera.

Politik dengan masjid sering dikaitkan. Bagi saya ini bukan sekadar masalah penceramah bercakap mengenai politik menggunakan pentas masjid sama ada secara jelas dan terbuka atau samar-samar berbunga-bunga.

Selain itu yang ingin saya perkatakan ialah masalah kakitangan masjid termasuk pengerusi dan ahli jawatankuasa (dan ada kalanya golongan imam dan muazzin) dikatakan ada kaitan dengan parti politik, atau sekurang-kurangnya menunjukkan kecenderungan ke arah sesuatu parti politik. Malah, dikatakan jika sesuatu parti sedang memegang tampuk pemerintahan sesuatu negeri maka golongan yang pro-parti itu hampir pasti mentadbir masjid dan surau di negeri itu. Saya bercakap secara am tetapi ini pernah berlaku.

Saya sendiri pernah menyaksikan pada suatu masa dahulu ada masjid yang pengerusi dan ahli jawatankuasanya bukan sahaja mesra parti politik tertentu tetapi menjadi ahli dan memegang jawatan dalam parti politik berkenaan.

Sememangnya tidak boleh dihalang seseorang daripada mempunyai kecenderungan politik. Namun harapannya ialah jangan dicampur aduk politik dengan urusan masjid. Dalam kes yang saya sebut ini, kerap terjadi undangan ke majlis anjuran masjid hanya diberi kepada pemimpin parti politik yang dianggotai ahli jawatankuasa. Misalan imam dan bilal tidak sehaluan maka sedikit sebanyak berlaku “ketidakselesaan”. Keretakan dapat dihindari apabila golongan imam akur dengan pentadbir. Saya harap ini tidak berlaku pada waktu ini. Waullahualam.

Teringat saya akan satu lagi kisah lampau. Pernah terjadi pada suatu bulan puasa beberapa tahun dahulu ada wartawan menemubual seorang imam di sebuah masjid mengenai fadilat Ramadan. Si wakil media ditegur dengan agak keras oleh pengerusi masjid kerana menebual imam tanpa izin beliau. Teguran juga diberi kepada pak imam. Ertinya imam perlu mendapat izin pengerusi walaupun untuk bercakap mengenai perkara yang beliau arif, yakni soal agama. Bagi saya ini pelik.

Pada pendapat saya lebih elok jika imam memegang jawatan pengerusi masjid dan beliau juga pilih ahli jawatankuasa. Jika imam boleh memikul tanggungjawab memimpin jemaah bersembahyang, masakan kita tidak boleh memberi keyakinan dan kepercayaan kepada imam mentadbir masjid? Pada hemat saya mengimamkan sembahyang lebih besar tanggungan daripada mentadbir masjid. Bagi saya satu orang boleh melaku dua tugas namun kita masih amalkan sistem satu pasukan pentadbir dan satu pasukan imam di masjid dan surau kita.

Di wilayah selatan Thai, kalau tidak silap saya, pemilihan ala pilihan raya diadakan untuk memilih pentadbir masjid. Saya tidak pasti sama ia membabitkan pemilihan imam. Ertinya pengundian dibuat oleh ahli kariah. Saya rasa ini tidak sesuai kita contohi kerana akan menimbulkan masalah politik pula. Tak apa itu soal lain.

Menutup rencana izinkan saya bercakap mengenai kanak-kanak di masjid. Memang ada anak-anak yang nakal dan buat bising di dalam masjid semasa jemaah bersembahyang. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak berada “in the best behavior” apabila berada di masjid, tetapi budak-budak tetap budak-budak. Yang nakal tetap nakal. Maka kakitangan masjid mahu pun sesiapa berhak menegur mereka supaya jangan buat bising dan mengganggu para jemaah.

Tetapi tegurlah dengan cara baik dan lemah lembut. Saya pernah nampak kanak-kanak diherdik secara kasar. Ini mempunyai kesan terhadap diri mereka.

Satu lagi yang saya tidak faham ialah kanak-kanak tidak dibenarkan duduk di saf depan. Mereka diusir ke belakang. Mengapa? Adakah mereka kotor? Menjijikkan? Nyata mereka ada yang sudah pun bersuci.

Dalam usaha mahu masjid diimarahkan dan ketika kita mahu anak-anak gemar ke masjid, lakukanlah sesuatu yang menarik mereka dan bukan sesuatu yang merenggangkan mereka dari rumah Allah.

Cukup setakat ini sebelum saya dituduh berkhutbah tanpa tauliah. Selamat mendirikan sembahyang Jumaat.

Tiada ulasan: