"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi diarah bayar RM120,000 kepada Mahfuz

BERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini, memerintahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Wira Mahfuz Omar, berhubung saman fitnah.

Ini selepas panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong, membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Panel hakim sama menolak rayuan Muhammad Sanusi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov 2021 yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Mahfuz selepas membenarkan saman fitnah Mahfuz.

Dalam penghakiman itu, Vazeer berkata, tiada kesilapan oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam penemuannya mengenai liabiliti tetapi mengatakan bahawa kuantum ganti rugi yang diberikan kepada Mahfuz oleh Mahkamah Tinggi adalah rendah.

Beliau turut mengarahkan Muhammad Sanusi membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Peguam, Yusfarizal Yussoff, mewakili Muhammad Sanusi serta Noorazmir Zakaria yang mewakili Mahfuz, mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan itu yang disampaikan menerusi prosiding secara dalam talian.

Pada November 2021, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin, membenarkan saman fitnah Mahfuz dan mengarahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz.

Mahkamah Tinggi itu juga mengeluarkan perintah injunksi menghalang Muhammad Sanusi atau ejen-ejennya, daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz pada masa hadapan.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019, memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Yusfarizal berkata, beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan. 
- BERNAMA

Tiada ulasan: