"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menghijaukan buka puasa

Mohsin Abdullah

Semalam April Fools’ Day, hari ramai orang “prank” kawan mahupun orang lain untuk suka-suka. Tetapi apa yang saya tonton semalam menerusi rangkaian televisyen Al Jazeera bukan jenaka April Fool. Ia juga tidak ada kena mengena dengan “gelombang hijau ” PAS walaupun mungkin ada yang terperasan dengan tajuk artikel ini.

Sebenarnya apa yang diketengahkan oleh Josh Rushing, hos The Stream, bersama tiga ahli panelnya sesuatu yang kita sudah sedar. Oleh itu apa yang dihujahkan dalam rancangan itu mengukuhkan apa yang nyata yakni negara-negara Islam lah yang paling terkesan dengan perubahan iklim atau “climate change” yang mengakibatkan malapetaka dan tragedi. Dalam lain perkataan jika berlaku banjir ia semakin buruk. Jika gempa ia lebih menakutkan. Ertinya semua yang terjadi sejak kebelakangan ini lebih dahsyat daripada apa yang pernah berlaku.

Lantas ketiga-tiga tetamu rancangan – semuanya orang Islam – menekankan penting sesuatu dilakukan segera khususnya dalam kalangan masyarakat Islam. Sempena Ramadan mereka mengutarakan pandangan “How can Ramadan be more sustainable?” atau bagaimana lebih kelestarian boleh diwujudkan pada bulan Ramadan.

Bermula dengan “iftar” atau waktu berbuka puasa. Mereka sependapat (dan kita pun pasti setuju) pada waktu atau selepas berbuka puasa berlaku banyak pembaziran bukan sahaja makanan berlebihan yang terbuang, air juga dibazirkan. Plastik digunakan dengan berleluasa untuk pembuangan sisa makanan. Semuanya tidak mesra alam. Tidak “eco-friendly”.

Iman Sejad Mekic daripada Cambridge Central Mosque di United Kingdom memberitahu masjidnya menekankan aspek penjagaan alam sekitar bukan sahaja menerusi kuliah dan syarahan tetapi pelbagai kempen dan program termasuk “eco-friendly iftar”. Katanya masjid beliau antara yang paling mesra alam di Eropah. Beliau juga menegur pembuatan struktur dan hiasan masjid menggunakan bahan kayu. Ini katanya bermakna banyak pokok balak ditebang.

Kata Kori Majeed pula, sememangnya selepas sehari suntuk tidak makan, tumpuan diberi kepada makanan apabila tiba waktu berbuka puasa. Timbul masalah makanan berlebihan yang mengakibatkan pembaziran. Ini mesti diubah. Kori ialah aktivis dan pengasas Green Ramadan.

Pengurus pemasaran antarabangsa Green Ramadan berpangkalan di Jerman, Abdul Aleem Majeed teringat betapa malunya beliau apabila membawa rakan-rakan bukan Islam iftar di masjid dan melihat pembaziran lalu sampah bertimbun. Beliau harap orang yang datang berbuka di masjid membawa bekas untuk bawa pulang makanan berlebihan dan sedekah kepada orang yang memerlukan.

Ketiga-tiga tidak hanya bercakap kosong atau sekadar menyatakan apa yang nyata. Mereka melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan. Maka terbitlah Ramadan hijau dan iftar hijau. Kori antaranya ‘mencipta’ perkakas makan yang mesra alam. Ertinya tidak ada plastik dan bahan buang lepas guna. Apa yang beliau mahu lihat ialah perkakas mesra alam dibawa oleh umat Islam ke setiap tempat mereka pergi untuk berbuka puasa.

Sebenarnya organisasi beliau dan kumpulan Muslim pencinta alam lain menggariskan pelbagai langkah untuk dijadikan pedoman. Semuanya direka dengan menarik dan boleh diikuti secara “online”.

Islamic Relief UK umpamanya menyediakan senarai cadangan untuk membantu kurangkan impak penambahan penggunaan atau “increased consumption”. Selain gesaan kurangkan pembaziran makanan dan penggunaan plastik, ia juga menyarankan penggunaan bahan mesra alam untuk hiasan Ramadan di masjid dan kediaman. Ada juga saranan menghentikan memakan daging. Ini menyaksikan seorang Muslim yang mengikuti siaran The Stream secara langsung dalam talian mengemukan pandangan jika daging tidak elok agama Islam sudah tentu mengharamkannya. Ada logik pandangan itu.

Respon Imam Sejad ringkas. Kata kuncinya, menurut beliau, ialah makan secara sederhana dan bukan berlebihan. Izinkan saya mencadangkan anda tonton rancangan ini di Al Jazeera online atau YouTube. The Stream “Sustainable Ramadan”.

Jelas para “environmentalist” melihat iftar aktiviti utama komuniti sebagai peluang untuk menzahirkan urusan “sustainability”. Malah PBB juga sudah melancarkan kempen kelasterian Ramadan. Kata Abdul Aleem, alangkah baik jika diimbangi mengejar pahala beribadah pada Ramadan dengan menjaga alam sekitar.

Di Malaysia, tidak perlulah saya huraikan apa yang berlaku pada majlis berbuka puasa, sama ada di masjid, di rumah, di gerai dan kedai, juga hotel taraf berbintang-bintang. Tidak perlulah saya membebel sama ada pembaziran makanan berlaku, sisa makan berlambak, penggunaan plastik dan perkakas makan guna dan buang yang tidak “eco-friendly”. Saya bukan imam berkhutbah tentang apa yang patut atau tidak patut dilakukan.

Cuma saya akhiri penulisan ini dengan peringatan Sejad Mekic, imam di Cambridge Central Mosque: “Allah berfirman jaga lah alam ciptaan-Nya”.

Tiada ulasan: