"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terus digambarkan konon sokong judi, Mahfuz beri amaran

Malaysiakini 

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata banyak manipulasi dan dakwaan songsang dibuat ke atasnya selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

Kata Mahfuz dia mengheret Sanusi ke mahkamah kerana pemimpin PAS itu menuduh kononnya dia mempertahankan pemindahan premis judi di Pokok Sena.

Sedangkan, kata Mahfuz, pemindahan premis judi berkenaan langsung tidak ada kaitan dengannya.

"Malah saya sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena ketika itu telah pun membuat bantahan terhadap pemindahan Sports Toto tersebut kepada Majlis Bandaraya Alor Setar.

"Kemudian pemindahan tersebut tidak pun diteruskan," katanya dalam kenyataan media.

Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu menolak rayuan Sanusi untuk mengetepikan saman fitnah dikemukakan Mahfuz Omar dan bersetuju agar jumlah ganti rugi yang perlu dibayar dinaikkan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan ganti rugi yang perlu dibayar Sanusi kepada Mahfuz ialah RM50,000 namun panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan di Putrajaya menerima permohonan Mahfuz agar ia dinaikkan kepada RM120,000.

Jelas kenyataan fitnah

Sehari kemudian Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menyiarkan sekali lagi kenyataan fitnahnya ke atas Mahfuz di media sosial.

“Posting inilah yang didapati saya bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi (+ RM15,000 kos) dan kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50k didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat counter appeal (rayuan balas) untuk tuntut lebih tinggi,” tulisnya di media sosial.

Dalam hantaran yang sama Sanusi memberi gambaran bahawa tindakannya membuat kenyataan didapati fitnah oleh mahkamah dibuat dalam usaha dia menyekat kegiatan judi.

Mahfuz berkata memang ada penyokong PN bertindak keterlaluan dengan mendakwa dia menyaman Sanusi kerana mahu mempertahankan aktiviti judi.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan saman fitnah saya membuktikan dakwaan Sanusi yang mengaitkan saya dengan isu tersebut jelas adalah fitnah," katanya

Bekas timbalan menteri sumber manusia itu juga memetik beberapa alasan pengakiman di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Misalnya wujud suasana tidak peka pada pihak berkuasa yang meluluskan pemindahan kedai judi terbabit.

Hakim juga mendapati kenyataan dibuat Sanusi adalah fitnah - seperti yang didakwa oleh Mahfuz.

Disebabkan defendan (Sanusi) mendakwa Mahfuz meluluskan atau telah menjadi pihak dalam peruntukan semula tersebut, dia mesti menunjukkan bahawa kenyataan tersebut adalah benar.

Hakim juga berkata: "Saya dapati pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa kandungan siaran Facebook (Sanusi) itu adalah benar. Saya dapati defendan tidak menunjukkan bahawa plaintif bertanggungjawab ke atas pelesenan atau pergerakan cawangan Sports Toto dari tapak bekasnya ke premis baharunya di Pokok Sena."

Dengan apa yang berlaku ekoran keputusan tersebut, kata Mahfuz, dia meminta agar tiada lagi mana-mana pihak menyelewengkan fakta kes berkenaan.

Menurut Mahfuz, jika ada yang masih mengaitkan dia dengan sebarang maksud kononnya menyokong atau mempertahankan judi, mereka perlu menarik balik tulisan-tulisan tersebut.

Jika tidak, tambahnya, dia akan mengambil tindakan lanjut dengan mengemukakan saman fitnah.

““Kalau (pun) ‘koyak’ jangan fitnah,” katanya.

Tiada ulasan: