"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa yang akan terkulai dan rebah di Selangor

Dahlan Maamor

ULASAN l Pilihan raya enam negeri (PRN) dijangka akan diadakan serentak di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Pastinya, Jun akan menjadi bulan yang sibuk dan dilihat sebagai medan saingan sengit selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang lalu antara gabungan Pakatan Harapan (PH)/Umno/BN dan gabungan Perikatan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Bersatu dan PAS.

Namun PRN yang menjadi tumpuan dan dijangka sengit adalah di Selangor.

Banyak telahan dan jangkaan dibuat dengan pelbagai dalil dan alasan bahawa Selangor akan tumbang kali ini setelah sekian lama PH menjadi kerajaan negeri.

Selangor memang menjadi sasaran PN untuk meluaskan kuasa dan pengaruh dan mereka meletakkan harapan ke bahu bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang tewas di Parlimen Gombak di tangan Menteri Besar, Amirudin Shari dalam PRU-15 lalu.

PRN Selangor dijangka menjadi perhatian susulan PAS dan Bersatu, masing-masing menyimpan angan-angan besar untuk merampas Selangor. Gerak kerja dan usaha dilipatgandakan PN untuk tujuan itu.

Namun ia bukan satu kesalahan dan tidak salah PN menanam angan-angan kerana ini adalah bayangan kepada sebuah cita-cita.

Kemungkinan PN masih “mabuk” dengan kemenangan enam kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15 lalu maka alasan itu menjadi senjata angan-angan PN khususnya PAS.

Jika itu alasannya, saya yakin PAS dan Bersatu khususnya akan tersilap percaturan kerana politik Selangor berbeza jauh berbanding dengan negeri-negeri lain seperti Kedah, Terengganu mahupun Kelantan.

Mungkin PN khususnya PAS yakin akan kekal di Kelantan tetapi haklikatnya, di Selangor, keadaan adalah berbeza. PAS mungkin boleh mendabik dada dan mengisytiharkan Terengganu juga milik mereka namun keadaan yang sama tidak boleh dikatakan akan berlaku di Pulau Pinang.

PAS juga boleh yakin mampu mempertahankan Keda, namun hakikatnya keadaan di Kedah adalah 50-50 dengan PH dan Umno/BN mampu membuat kejutan.

Semua perubahan bergantung kepada isu bagaimana mereka menyelesaikan masalah pembahagian kerusi dan jawatan sekiranya menang nanti. Jika ini berlaku dengan baik, PN berhadapan dengan masalah besar.

Tidak ada sebab Selangor harus bertukar kerajaan kerana pelbagai program kepentingan rakyat sudah dan sedang dilaksanakan dengan cemerlang oleh Amirudin.

Bermula sejak lahir hinggalah ke alam kubur, Selangor memastikan rakyat negeri dibantu dengan sebaiknya.

Antara kejayaan Selangor prihatin rakyat menerusi perkhidmatan di bawah Iltizam Selangor penyayang yang dulunya dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat atau IPR.

Iltizam Selangor Penyayang bermula pada 2022 adalah kesinambungan polisi dan program negeri Selangor yang mengutamakan kebajikan rakyat melalui manifestasi dan perlaksanaan usaha berterusan oleh kerajaan negeri dalam membantu meringankan bebanan rakyat.

PAS tidak melihat kejayaan itu sebagai pengiktirafan rakyat Selangor tetapi menggunakan alasan kemenangan enam kerusi Parlimen dalam PRU15 yang lalu di Selangor menjadi pendorong kepada keyakinan bahawa kerajaan negeri gagal menjaga kebajikan rakyat.

PAS yang kini sebahagian daripada PN turut memberi alasan Umno dan BN tidak lagi menjadi ancaman berikutan kegagalan Umno pimpinan Ahmad Zahid Hamidi meraih walau satu kerusi Parlimen di Selangor pada PRU-15 lalu. Malah dakwa mereka, keberadaan BN dan Umno ke dalam kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan adalah membebankan PH.

Kehadiran Umno bersama kerajaan pusat dikatakan tidak menggusarkan PN malah mereka beranggapan BN khususnya Umno tidak akan dapat mempegaruhi pengundi berikutan kemelut dalam parti itu yang belum berakhir dan terus bergolak atas gerakan tokoh pimpinan utama mereka yang dipecat dan digantung oleh parti.

Bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar yang dipecat dari Umno dikatakan penggerak utama bagi memastikan kerajaan PH Selangor terkulai dan rebah.

Namun itu hanyalah andaian dan cita-cita yang tidak boleh diterima kepastiannya jika fakta penerimaan rakyat Selangor terhadap usaha keras tanpa mengira musim telah dilaksanakan dengan baik oleh Amirudin di Selangor.

Umno dan BN harus berjiwa besar memperakui bahawa PH adalah kerajaan yang memerintah di Selangor dan mereka juga perlu berjiwa besar dalam soal pembahagian kerusi tanpa banyak menimbulkan karenah yang boleh merosakkan hubungan dan peluang.

Jika kerjasama, tolak ansur dan muafakat bersandarkan realiti politik Selangor, diyakini PH dan BN akan menyapu bersih kerusi-kerusi di Selangor.

Tidak terkejut andainya muafakat ini terbina dalam keadaam tenang tanpa berkecil hati, PN jika pun membuat kejutan, tidak mampu memenangi tidak lebih daripada dua daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Kekuatan sekutu PH, DAP yang memiliki 14 kerusi diyakini tidak akan berkurangan dan akan kekal mempertahankan jumlah itu. Andai DAP berjaya kekal dengan 14 kerusi yang dimenangi pada PRU-14 lalu, maka PH hanya perlu mencari 15 lagi kerusi bagi memastikan PH kekal memerintah di Selangor.

Bersatu Selangor, pimpinan Mohammed Azmin Ali dilihat tidak mempunyai pengaruh besar berbanding ketika dia bersama PKR sebelum ini.

Azmin banyak mengharapkan dan bergantung kepada akar umbi dan jentera parti PAS serta bantuan penyokong parti itu untuk menggugat Selangor. Jika keadaan ini diambil kira maka tidak mustahil, di Selangor, Bersatu tidak mustahil akan gagal memenangi walaupun satu kerusi.

Jika kejayaan Selangor mengutamakan kepentingan rakyat selama ini diambil kira, bukan setakat 14 kerusi malah tidak mustahil 40 kerusi mampu dimiliki bagi mengesahkan PH memang kebal di Selangor. Bagaimanapun, ramai yang beranggapan persaingan kali ini sengit namun bagi saya PN akan “patah gala”h dalam PRN di Selangor.

Sekutu PN, PAS mungkin akan memenangi sekurang kurangnya satu atau dua kerusi. Dan ini tidak memberi kesan kepada kerajaan PH.

DAHLAN MAAMOR adalah bekas wartawan dan pemerhati politik dan pernah berkhidmat dengan pemimpin Umno dan PH.

Tiada ulasan: