"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi dakwa tuduhan bocor 'rahsia kerajaan' punca disekat

Hariz Mohd

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa dia dihalang daripada menghadiri majlis kerajaan persekutuan atas tuduhan membocorkan 'rahsia kerajaan'.

Dalam video ceramah yang dimuat naik di akaun Facebooknya awal hari ini, Sanusi mendakwa perkara itu didedahkan kepadanya oleh seorang pegawai kanan kerajaan di Kedah yang menunjukkan salinan keputusan kabinet untuk menghalangnya daripada hadir ke majlis kerajaan persekutuan.

Sanusi mendakwa ia berpunca daripada ucapannya dalam khutbah di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini, di mana Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS itu, mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan pembentangan untuk Kementerian Kewangan sendiri dan bukannya meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan melakukannya.

Pertemuan itu, katanya, adalah antara perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri negeri, dan diadakan sempena mesyuarat Raja-raja Melayu pada hari yang sama.

Turut hadir ketika itu ialah barisan menteri kabinet persekutuan.

"... apabila tiba masa pembentangan oleh Kementerian Kewangan, ia dibentangkan oleh menteri kewangan (Anwar) sendiri. Kerana dia letak KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dalam peti sejuk," kata Sanusi.

“Selepas mesyuarat, saya ada ceramah di Sungai Besar. Semasa ceramah saya, saya cerita tentang pertemuan itu.

“Saya kata pembentangan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilakukan oleh seorang pegawai tetapi bagi Kementerian Kewangan, perdana menteri yang juga menteri kewangan sendiri terpaksa melakukannya kerana ketua setiausaha perbendaharaannya tidak hadir,” jelasnya lagi.

Sanusi turut mendakwa itu adalah alasan yang digunakan oleh kabinet untuk menghalangnya daripada menghadiri majlis kerajaan persekutuan, termasuk di Kedah.

Mempersoalkan logik keputusan kabinet, Sanusi membidas kerajaan persekutuan yang didakwanya sebagai mundur kerana menghalangnya hanya disebabkan isu yang kecil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu juga mendakwa apa yang diperkatakan pada mesyuarat itu tidak dianggap sebagai rahsia.

“Jadi saya disekat daripada menyertai mana-mana acara persekutuan hanya kerana saya bercakap tentang Anwar Ibrahim membentangkan kertas kerja sendiri.

"Ini adalah alasan yang tidak masuk akal. Apakah rahsia di sini? Apa yang saya katakan (dalam ceramah) bukanlah sesuatu yang sulit. Identiti orang yang membentangkan kertas kerja bukan rahsia.

"Perkataan sulit ditulis di atas kertas, jadi kandungan kertas itu adalah rahsia. Saya hanya berkata siapa yang menyampaikan, bukan kandungan pembentangan," kata Sanusi.

Sanusi baru-baru ini mendakwa dia disekat daripada menyertai sebarang program kerajaan pusat.

Dalam respons awal Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dia menyatakan rasa terkejutnya dengan dakwaan yang dibuat Sanusi.

Susulan itu, pembantu menteri besar Kedah itu mengeluarkan kenyataan menyokong Sanusia, di mana dia menyenaraikan beberapa siri peristiwa pemimpin PAS itu didakwa dihalang.

Ia termasuk sewaktu pameran Lima (Langkawi International Maritime and Aerospace), Mei lalu.

Tiada ulasan: