"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar mohon penghakiman ingkar terhadap Ahli Parlimen Pendang

Bernama

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim memohon untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim atas kegagalannya memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman fitnah oleh perdana menteri itu, dalam tempoh masa ditetapkan.

Anwar, 75, memfailkan saman itu terhadap Awang pada 3 Mac lepas, berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap perdana menteri itu di lobi Parlimen.

Peguam S N Nair, yang mewakili Anwar, berkata writ dan tuntutan saman itu diserahkan kepada Awang selaku defendan pada 3 Mac dan beliau sepatutnya memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 21 Mac.

“Semasa pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Aisyaf Falina Abdullah hari ini, kami memaklumkan kepada mahkamah mengenai kegagalan defendan untuk memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh masa yang diperuntukkan dalam perundangan dan memohon penghakiman ingkar direkodkan terhadap defendan.

“Selepas merekodkan bantahan kami, timbalan pendaftar itu mengarahkan agar perkara tersebut dibawa ke hadapan Yang Arif untuk tindakan selanjutnya. Namun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian,” kata Nair ketika dihubungi.

Nair berkata walaupun pihaknya telah membangkitkan bantahan dan fakta bahawa mahkamah masih belum memberikan apa-apa lanjutan masa dan arahan kepada defendan untuk memfailkan pernyataan pembelaannya, namun peguam defendan meneruskan dengan pemfailan pernyataan pembelaan itu hari ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar selaku plaintif mendakwa defendan membuat beberapa kenyataan yang merujuk kepadanya di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen, semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, pada 21 Feb lepas.

Beliau berkata kenyataan tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan kepada pemberita, yang terakam dalam bentuk audio dan video.

Menurut Anwar, pada 21 Feb 2023, kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama “@asriasri64chanel”.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata pada hari sama (21 Feb) portal MalaysiaKini menerbitkan semula sebahagian kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut menerusi dua artikel bertajuk “MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir” manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk “Why no LCS charges, MP asks ‘more vindictive than Mahathir’ PM”.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Beliau mendakwa Awang sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua kerajaan perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.

Tiada ulasan: