"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangkaan raya awal, beri cuti khas 19 April, KPM diberitahu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April mengambil kira jangkaan 1 Syawal mungkin 21 April, sehari awal berbanding ketetapan asal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata langkah pemberian cuti khas itu memudahkan urusan guru terutama yang bertugas di negeri lain merentas negeri pulang berhari raya.

Pihaknya membuat gesaan itu merujuk kepada kenyataan Pusat Astronomi Antarabangsa berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa kebanyakan negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal Syawal pada 20 April, yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan 1444H.

“Dalam isu cuti perayaan dalam sesi persekolahan 2023 sekarang, KPM membuat ketetapan cuti perayaan untuk Aidilfitri bagi semua negeri ialah pada 20 April dengan andaian semasa perancangan cuti dibuat bahawa Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 22 April.

“Ini membolehkan guru serta semua lapisan masyarakat yang mempunyai anak di sekolah mempunyai masa selama dua hari merentas negeri bagi tujuan balik kampung untuk beraya,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan terbaru berkaitan jangkaan 1 Syawal itu, NUTP berharap KPM dapat mempertimbangkan cuti khas pada 19 April bagi memudahkan urusan guru terutama yang bertugas di negeri lain.

“Pemberian cuti khas ini memberikan lebih ruang kepada guru dan rakyat yang terpaksa merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri.

“Hal ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberikan lebih keselesaan kepada semua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: