"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jurutera tepis dakwaan Anwar larikan gas Bachok ke Songkhla

Malaysiakini

Seorang jurutera berpengalaman dalam bidang petroleum menolak kenyataan Anggota Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary bahawa Anwar Ibrahim melarikan pendaratan gas dari kawasan pembangunan bersama Malaysia-Thailand (JDA) ke Songkhla, Thailand hampir 30 tahun lalu.

Rahim Kamil Sulaiman, 69, berkata, sebagai menteri kewangan pada 9 Mei 1996 Anwar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Koperasi Usaha Bersatu Malaysia Bhd (KUB) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi pembangunan industri petrokimia di Pantai Senok, Bachok, Kelantan. 

Menurutnya, ia merupakan detik bersejarah bagi KUB dalam transformasinya daripada koperasi yang disokong Umno kepada konglomerat tersenarai.

“Menteri kewangan menyokong penuh langkah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan. 

“Semasa majlis menandatangani perjanjian pada 9 Mei 1996, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan pusat tidak mempunyai sebarang masalah jika kerajaan negeri Kelantan terbuka kepada kerjasama demi kepentingan rakyat Kelantan. 

“Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan (ketika itu) menyambut baik jaminan ini apabila kami memberi taklimat kepadanya.

“KUB meneruskan rekayasa dengan sebuah syarikat kejuruteraan Jerman bersama dengan Ranhill Bersekutu yang berpangkalan di Malaysia untuk menyediakan laporan interim mengenai kebolehlaksanaan teknikal kompleks petrokimia yang dicadangkan di kawasan seluas 5,000 ekar di Pantai Senok.

“Laporan itu mengenal pasti proses pemisahan gas dan petrokimia dua dekad lebih awal daripada kompleks petrokimia Pengerang sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini. 

Bagaimanapun jelasnya dalam tempoh beberapa bulan selepas perdana menteri Mahathir Mohamad dan menteri besar Kelantan berjabat tangan di Kelantan pada tahun 1996, pemimpin PAS dan Umno Kelantan memulakan peranan masing-masing.

Menurut Rahim , “permainan” ini tiada kena mengena dengan kepentingan rakyat Kelantan.

“Rakyat Malaysia tahu bahawa pada pertengahan tahun 1997, hubungan antara Mahathir dan timbalannya Anwar mula muram dan menuju konfrontasi. Pada 2 September 1998, Anwar sudah terkeluar daripada Umno dan kerajaan. 

“Dia ditahan bawah ISA pada 20 September sebelum didakwa atas tuduhan meliwat. Bilakah Anwar Ibrahim mempunyai masa untuk ‘larikan gas JDA’ dari Kelantan ke Songkhla? 

“Pada awal tahun 1998, KUB (seperti semua korporat Malaysia) telah pun berada di tahap kritikal untuk mengurangkan kesan Krisis Kewangan Asia. Projek Pantai Senok yang bercita-cita tinggi terpaksa ditangguhkan,” jelasnya.

Ahmad Marzuk dalam sesi sidang parlimen 2 Mac lalu mendakwa  Anwar “melarikan” pendaratan gas ini ke Songkhla yang jaraknya 230 kilometer, sedangkan kawasan bertindih itu cuma 140 kilometer dari Pantai Senok.

“Kalau kata nak mengangkat martabat Melayu, Melayu mana ada di Songkhla, Thailand? Kalau kata nak menokhtahkan miskin tegar sepatutnya minyak itu didaratkan di Bachok. 

“Kerana ia boleh memacu industri hiliran, jajaran jalan, kedai-kedai, tanah nilainya akan meningkat apabila adanya pendaratan gas dan petroleum di situ. 

“Tetapi semuanya ini kerana tangan YB Tambun ia didaratkan di Thailand dan hasil lima peratus daripada pengeluaran minyak tahunan berjumlah RM3 bilion setahun tapi satu sen pun tidak diberikan peruntukan seperti mana perjanjian yang ada pada 1975,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Sementara itu tambah Rahim pada awal tahun 1998, KUB (seperti semua korporat Malaysia) telah pun berada di tahap kritikal untuk mengurangkan kesan krisis kewangan Asia. 

Justeru, katanya, projek Pantai Senok yang bercita-cita tinggi terpaksa ditangguhkan.

“Petroleum bukan portfolio Anwar. 

“Dalam semua kebarangkalian, Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) memutuskan mengenai pendaratan di Songkhla sekitar akhir 1999 atau awal 2000.

“Pihak berkuasa bersama ini hanya meluluskan Perjanjian Perkongsian Pengeluaran pada bulan September 2004. Mampukah Anwar mengarahkan MTJA dari penjara?

”Bagaimanapun, politik Kelantan semasa krisis kewangan Asia dan pemecatan Anwar giat diteruskan dengan ghairah. 

“Pengerusi BN Kelantan telah mengangkat ‘Deklarasi Semarak’ yang dikemukakan kepada Mahathir yang ‘menyatakan hasrat untuk menakluki kembali Kelantan pada pilihan raya umum akan datang’. 

“Dia menegaskan bahawa sesiapa boleh menandatangani MOU dengan Kelantan supaya pada 1999 iaitu apabila BN memerintah Kelantan projek itu dapat dibangunkan,” katanya yang juga bekas profesor pelawat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga 1997.

Tiada ulasan: