"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis jadi dalang seludup mercun

Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu yang berlaku apabila seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan selepas dipercayai 'dalang' sindiket penyeludup mercun ke negara ini.

Lebih mengejutkan apabila suspek berusia 30-an turut menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa mercun diseludup.

Sumber berkata, anggota polis berkhidmat di cawangan pengangkutan di Terengganu itu dikesan menggunakan kenderaan pasukan PDRM untuk aktiviti penyeludupan mercun dari Kelantan.

Menurutnya, suspek bagaimanapun diberkas hasil risikan dilakukan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) terhadap aktiviti penyeludupan mercun sempena Aidilfitri ini.

"Suspek ditahan sepasukan anggota PGA di Kampung Wakaf Bata, Machang, Kelantan ketika memandu kenderaan pacuan empat roda milik PDRM, sekitar jam 7 malam, Selasa lalu.

"Difahamkan suspek menutup mercun dimuatkan di bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan menggunakan kanvas.

"Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan yang turut menemani suspek di dalam kenderaan berkenaan.

"Dia dipercayai ada kaitan dengan kegiatan penyeludupan mercun berkenaan," katanya.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan lanjut menemui berpuluh ribu mercun bola, mercun roket, mercun bateri, mercun pop-pop dan pelbagai bunga api dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.

"Difahamkan ketika kejadian suspek tidak bertugas dan menggunakan kenderaan itu tanpa kebenaran pihak atasan.

"Susulan itu, PGA merampas kenderaan bersama muatan mercun itu sebelum dibawa ke IPD Machang, Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu pihak polis Bukit Aman yang dihubungi memaklumkan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun bakal mengeluarkan kenyataan berhubung rampasan berkenaan.

Sebelum ini polis Kelantan turut berjaya menahan 13 lelaki dan seorang wanita warga tempatan di enam daerah di Kelantan serta merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai lebih RM100,000 sejak 25 Mac lalu.

Muhamad Zaki memaklumkan, penahanan dan rampasan dilakukan di Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Beliau berkata kesemua 14 individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: