"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat didakwa ‘laporan SPRM terhadap hakim Nazlan’ tular di media sosial

FMT Reporters

PETALING JAYA: Beberapa hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib Razak, tular di media sosial tangkap layar surat yang dikatakan laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan salah laku hakim perbicaraan, Nazlan Ghazali.

Antara mereka yang membuat hantaran imej itu ialah anak perempuan Najib, Nooryana. Dalam catatan Instagram, dia hanya berkata, “Berani kerana benar”.

FMT telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan pengesahan surat berkenaan.

Surat itu yang didakwa, daripada Azam kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, bertarikh 20 Feb menyatakan bahawa siasatan SPRM telah menemui “isu salah laku” oleh Nazlan yang “perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim”.

Surat itu menyatakan kesalahan yang didakwa di bawah Kod Etika Hakim 2009 berlaku apabila hakim Nazlan, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi mengetuai perbicaraan Najib atas tuduhan rasuah melibatkan dana milik SRC International.

Ia termasuk “fakta siasatan yang dijalankan oleh SPRM ” seperti yang dilampirkan.

September lalu, Azam berkata siasatan terhadap dakwaan Nazlan melanggar Kod Etika Hakim telah selesai, tetapi butiran lanjut tidak dapat didedahkan.

Pada Februari lalu, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun menuduh SPRM tidak mengikut protokol dalam menjalankan siasatan terhadap Nazlan.

Siasatan itu timbul selepas dakwaan dibuat berhubung jumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB, dana pelaburan kerajaan yang menjadi pusat skandal kewangan membabitkan berbilion ringgit.

Tengku Maimun berkata agensi penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.

Nazlan, yang ketika ini hakim Mahkamah Rayuan, telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib. Rayuan Najib kepada Mahkamah Rayuan kemudiannya ditolak, dan Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengekalkan sabitan dan hukuman.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos tahun lepas sejurus selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

Pada hari Jumaat, panel Mahkamah Persekutuan yang berasingan menolak permohonan Najib untuk semakan terhadap sabitan dan hukumannya. Akibatnya, Najib dikehendaki menjalani baki tempoh penjaranya, melainkan beliau mendapat pengampunan diraja.

Tiada ulasan: