"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penentuan 1 Syawal: Umat Islam dinasihat tenang, serah kepada pihak berautoriti

SHAH ALAM: Masyarakat Islam dinasihatkan untuk kekal tenang dalam keadaan harmoni menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini bagi penentuan tarikh permulaan 1 Syawal.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dalam kenyataan berkata, hitungan ahli falak adalah sesuatu yang bersifat tidak muktamad dalam penentuan 1 Syawal khususnya.

"Keputusan akhir adalah pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam berkenaan tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi yang telah ditetapkan.

"Atas titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya selaku Mufti Selangor ingin menasihatkan umat Islam khususnya di negeri ini untuk menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal 1444H kepada pihak berautoriti," katanya.

Jelasnya, permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) serta data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara dan penentuan awal Syawal di satu-satu negara tidak tertakluk kepada hasil kenampakan hilal atau data kedudukan hilal di negara lain.– BERNAMA

Tiada ulasan: