"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bercuti di UK bukan urusan rasmi, pasport Mahiaddin tidak patut dilepas

Shahbudin Husin 

Menurut laporan media, pihak pendakwa raya akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Md Yasin untuk mendapatkan pasportnya secara kekal bagi melakukan perjalanan ke luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mereka memerlukan lebih masa untuk menjawab permohonan Mahiaddin itu.

“Notis permohonan telah disampaikan kepada kami pada 17 Oktober lalu dan kami akan membantah permohonan tersebut.

“Kami memohon dua minggu (untuk memfailkan afidavit pendakwaan sebagai jawapan),” kata Nor Asma kepada hakim perbicaraan, Azura Alwi.

Azura kemudiannya menjadualkan semula perbicaraan awal yang ditetapkan hari ini mengenai permohonan Mahiaddin itu kepada 23 November depan.

Hakim juga kemudian mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit mereka sebelum atau pada 8 November, sementara sebarang jawapan oleh pasukan peguam bela Muhyiddin mesti diserahkan sebelum atau pada 17 November.

Pasport Mahiaddin sebelum ini diserahkan kepada mahkamah jenayah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan RM2 juta dalam kes pengubahan wang haramnya yang sedang dibicarakan terhadapnya.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan pelepasan kekal pasportnya dengan mengemukakan pelbagai alasan antaranya ingin membawa keluarga bercuti di London.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mahiaddin berkata, beliau memerlukan dokumen itu untuk pemeriksaan kesihatannya di Singapura.

“Sudah menjadi tradisi saya akan membawa keluarga bercuti selama sebulan setiap tahun.

“Tahun ini juga tidak terkecuali.

“Percutian ini penting kerana ia membolehkan saya meluangkan masa bersama keluarga memandangkan tahun ini amat menekan saya dan keluarga,” ujar beliau dalam hujahnya.

Perlu atau tidak sebenarnya pasport beliau dilepaskan?

Dalam kes Mahiaddin ini, terdapat dua sebab mengapa beliau ingin memohon pasportnya dikembalikan – pertama, untuk pemeriksaan kesihatan di Singapura dan kedua, untuk bercuti ke London selama sebulan bersama keluarganya.

Mahiaddin rupanya setiap tahun bawa keluarga bercuti selama sebulan.

Sebagaimana kenyataan pihak pendakwa raya bahawa mereka akan membantah permohonan Mahiaddin itu, setepatnya itulah langkah paling wajar sekali dilakukan.

Ini kerana bercuti bukanlah urusan atau tugas rasmi dan ia boleh ditangguhkan sehingga keadaan mengizinkan.

Dalam kes Mahiaddin yang ada perbicaraan di mahkamah dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, eloklah beliau bercuti saja di dalam negara.

Kalau tujuannya untuk berkumpul sesama keluarga, boleh saja melakukannya di banyak tempat percutian yang menarik di Malaysia ini. Tidak perlu ke luar negara pun.

Mahiaddin hanya perlu diserahkan pasportnya untuk beliau menjalani rawatan perubatan di Singapura dan kemudian hendaklah diserahkan semula kepada mahkamah.

Bukan apa, kalau untuk bercuti pun diberikan pasportnya, bimbang nanti ia menjadi duluan di mana semua orang yang ada kes mahkamah akan berbuat hal yang sama.

Tetapi, sebagaimana banyak kes lain, membenarkan Mahiaddin memiliki pasportnya secara kekal adalah tidak munasabah sama sekali.

Hanya orang bebas dan tiada kes mahkamah bebas menyimpan pasportnya sendiri.

Tiada ulasan: