"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Saiful hadapi tuduhan ubah wang esok

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan akan didakwa atas pertuduhan baharu pengubahan wang haram esok.

Bekas ketua penerangan Bersatu itu mengesahkan menerima arahan untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.30 pagi Rabu.

“Butiran pertuduhan belum jelas setakat ini.

“Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk saya mendapatkan keadilan,” katanya dalam catatan Facebook.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoal siasatnya dengan berhemah.

Pada 21 Feb lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan secara prakelayakan yang keseluruhannya berjumlah RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima suapan RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek berkenaan.

Wan Saiful memfailkan permohonan membatalkan dua tuduhan itu pada 29 Mei lalu atas alasan ia cacat, tetapi ditolak mahkamah.

Tiada ulasan: