"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pergolakan PAS Perlis selesai dalam seminggu, kata mursyidul am

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata pergolakan dalaman parti itu di Perlis akan diselesaikan dalam masa seminggu.

Menurutnya, tidak bersetuju antara satu sama lain adalah sebahagian dalam proses pentadbiran yang dilalui semua pihak.

“Mungkin ada berlaku (pergolakan), tetapi saya nak tegaskan kalaupun ada sikit-sikit perkara yang agak nampak tak begitu lancar, tapi dalam kawalan. Kita boleh kawal.

“Jadi insya-Allah dalam seminggu ni (selesaikan)…kalau usaha diputuskan oleh muktamar baru-baru ni dilaksanakan maka saya yakin ia akan kembali normal balik,” katanya kepada FMT.

Hashim mengulas dakwaaan Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah bahawa berlaku pergolakan dalaman PAS di negeri itu sehingga menimbulkan tidak selesa rakan komponen Perikatan Nasional.

Abu Bakar berkata ‘pergolakan’ itu melibatkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri itu.

Kenyataan Abu Bakar menyusul peringatan Presiden PAS Hadi Awang minggu lalu supaya ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” untuk menjatuhkan kerajaan diperintahnya.

“Jangan ada kalangan ahli menjadi penebuk kapal. Kita kena pertahan (negeri) parti kita memerintah. Kelemahan kita tolong jangan dedah kepada lawan,” kata Hadi.

Perlis antara negeri diperintah PAS selain Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Pentadbiran negeri utara itu bertukar pada PRU15 yang menyaksikan dominasi Barisan Nasional (BN) dihentikan.

Tiada ulasan: