"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu dakwa ada pergolakan dalam PAS Perlis

Malaysiakini

PAS Perlis dilaporkan sedang bergolak dan ia didedahkan oleh pemimpin kanan Bersatu negeri itu hari ini.

Menurut Abu Bakar Hamzah antara isu yang melatari konflik dalaman PAS itu ialah terkait dengan "kefahaman agama" selain susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri.

Dipetik FMT, pengerusi Bersatu Perlis itu mendedahkan keadaan itu memang meletakkan mereka berada dalam keadaan tidak selesa di sebalik kedudukan kedua-dua parti bersama dalam PN.

“PAS sedang bergolak di Perlis, tidak ada keselarian dan kesaksamaan dalam kalangan kita," katanya dipetik portal berita berkenaan.

Bagaimanapun kata Abu Bakar, Bersatu Perlis tidak bercadang untuk campur tangan dalam kemelut tersebut kerana ia hanya melibatkan PAS negeri itu.

Kata Adun Kuala Perlis itu lagi, pergolakan berkenaan tidak membabitkan Bersatu.

PN berjaya menguasai kerajaan Perlis melalui PRU ke-15 yang diadakan pada 19 Nov tahun lalu. Gandingan itu memenangi 14 daripada 15 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Satu-satunya kerusi yang gagal dikuasai PN ialah Indera Kayangan yang dimenangi Gan Ay Ling (PH).

Dengan kemenangan besar itu, Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli yang juga Adun Sanglang dipilih sebagai menteri besar.

Antara perkembangan semasa yang menarik perhatian ramai di Perlis ialah langkah pihak berkuasa agama negeri bertindak ke atas program tertutup yang dijalankan di sebuah premis PAS Kangar pada 30 Mac lalu.

Langkah tersebu diambil Jabatan Agama Islam Perlis kerana program berkenaan melibatkan penceramah yang tidak memiliki tauliah. Ia juga sempat mencetuskan kekecohan dan ketegangan di antara PAS dan pihak berkuasa agama Perlis.

Siasatan lanjut menyaksikan Yang Dipertua PAS Kangar, Yussaine Yahya, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menganjurkan proram solat tarawih dan "Sembang Santai" bersama Mohamad Wadi Anuar Ayub yang tidak memiliki tauliah.

Yussaine didakwa melanggar Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 serta menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam Perlis.

Kejadian itu didakwa berlaku di Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (Matin) di Kampung Abi Padang Machang, Kangar. Yussaine merupakan mudir Matin.

Abu Bakar berkata di sebalik kemelut dalaman itu, hubungan Bersatu dengan PAS kekal utuh.

Pun begitu dia yang juga timbalan pengerusi PN Perlis berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera bagi memastikan gabungan berkenaan mengukuhkan kekuatan mengadapi PRU akan datang.

Tiada ulasan: