"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Minggu penuh gelisah bagi dunia

Zin Mahmud

Minggu ini dirasakan sangat tidak selesa bagi dunia terutama para penyokong Palestin yang sedang menanti serangan darat tentera Israel ke atas Gaza, suatu tindakan yang hampir pasti dilakukan.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengisythirkan bahawa Israel sedang berperang.

Apa yang dirasakan tidak selesa ini tentulah tidak boleh dibandingkan dengan suasana yang dialami sendiri oleh warga Gaza. Mereka terpaksa bertabah, cekal dan reda dengan apa yang bakal terjadi apabila serangan darat berlaku nanti.

Dengan segala kekuatan semangat dan banyak mana persediaan serta doa, hampir seperempat tentera Israel dijangka akan memasuki wilayah itu, lengkap dengan senjata baru yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, sejak 7 Oktober lalu, penduduk Gaza tidak memperoleh bekalan air dan elektrik kerana ia telah disekat oleh Israel. Mereka terpaksa menggunakan sebarang peralatan penjana elektrik yang ada serta simpanan air.

Sementara pintu masuk ke Gaza di sempadan Mesir, iaitu di Raffah masih belum dibuka sepenuhnya. Bangunan-bangunan kediaman pula sentiasa dibom oleh pesawat tentera Israel. Hospital dan kilang roti adalah sasaran terbaru yang menambah penderitaan rakyat Gaza.

Hamas tidak mempunyai tentera udara untuk menghalangnya. Apa yang mereka boleh lakukan ialah melancarkan roket ke atas Israel yang kesan kerosakannya adalah terhad.

Minggu lalu, sekutu-sekutu Israel sudah menyatakan sokongan. Presiden AS Joe Biden dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak telahpun berjabat tangan dan memeluk Netanyahu ketika mereka mengunjungi Israel.

Sementara Menteri Pertahanan, Yoav Gallant minggu lalu menyatakan tentera Israel mungkin berada di Gaza sama ada satu, dua atau tiga bulan. Tetapi yang pasti, menurutnya, apabila mereka keluar, Hamas sudah tiada. Begitulah tingginya keyakinan beliau.

Suasana berbeza

Modus operandi Israel sudah dapat difahami kerana sebelum ini perkara seumpama ini telah berlaku pada tahun 2008 dan 2014. Israel mengenakan pelbagai tekanan ke atas Palestin di Tebing Barat termasuk berhubung dengan Masjid Al-Aqsa dan persekitaran. Ia jelas merupakan provokasi. Hamas membalas dengan serangan roket yang kesan kerosakannya terhad.

Selepas itu, Israel akan menghantar jet pengebomnya ke atas Gaza. Setelah berpuas hati, serangan darat dilakukan yang menambahkan lagi banyak penderitaan dan kematian.

Jadi perkara seumpama ini akan berlaku lagi, kalau tidak minggu ini, mungkin minggu depan. Netanyahu berkata, tenteranya akan memberikan "tinju padu" terhadap Hamas. Ia akan menjadi pukulan yang amat kuat hinggakan Hamas tidak akan berani melakukan sebarang serangan lagi.

Tapi suasana sekarang adalah berbeza berbanding tahun-tahun dulu. Provokasi-provokasi tentera Israel di Tebing Barat sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga semakin menjadi-jadi. Dengan AS memindahkan kedutaanya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, Israel lebih berani.

Lebih banyak rumah dan tanah orang Palestin di Tebing Barat dirampas. Rumah orang Palestin diceroboh dan digeledah serta remaja dan kanak-kanak ditangkap tanpa sebab.

Semua menunjukkan perilaku tekanan terhadap orang Palestin supaya meninggalkan negara mereka. Ia merupakan penghalauan etnik secara perlahan tetapi bersistematik. Perlembagaan dipinda dan undang-undang digubal supaya suatu struktur apartheid diwujudkan di Israel.

Dari segi agama pula, tentera Israel menceroboh masuk ke dalam kawasan Masjid Al-Aqsa dan menghalang orang Islam daripada beribadah. Siapa yang dapat bertahan dengan keadaan ini?

Sementara wartawan pula ditakutkan daripada membuat liputan sebenar. Tanpa segan silu mereka membunuh seorang wartawan Al-Jazeera dengan begitu saja.

Malapetaka kemanusiaan

Pada masa ini Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged Izzeddine Al-Qassam dianggotai oleh generasi baru. Mereka menggantikan generasi lama yang kebanyakannya sudah tiada akibat konflik terdahulu. Semangat dan idea juga baru. Strategi dan taktik berbeza.

Malah serangan yang dinamakan ‘Yaifan Al-Aqsa’ ini menggunakan teknik berlainan. Mereka dapat menerobos pagar kawat tinggi Israel, mengirim peluncur udara berhampiran laut dan hasilnya juga lebih besar. Mereka menculik beberapa anggota pegawai tentera Israel untuk dijadikan tebusan.

Selalunya tebusan itu dilepaskan melalui rundingan dengan Israel yang menggantikannya dengan sejumlah orang Palestin yang berada dalam penjara Israel iaitu terdapat kira-kira 4,500 individu. Selain Hamas, ada satu kumpulan lagi yang turut bergerak secara bersenjata iaitu Jihad Islam.

Sepanjang minggu lalu, usaha dilakukan oleh banyak pihak dunia untuk memberi tekanan kepada Israel supaya tidak menyerang Gaza bagi mengelak malapetaka kemanusiaan. Satu persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah diadakan bagi mencadangkan gencatan senjata di Gaza.

Maknanya untuk mengelak serangan darat tentera Israel dan pertemputan mereka dengan Hamas yang boleh membunuh ribuan orang awam. Tetapi cadangan itu ditolak oleh veto AS Lima negara menyokong dan empat menolak. Rusia yang mengemukakan cadangan itu.

Bagaimanapun, beberapa negara termasuk Malaysia berusaha supaya diadakan Sidang Tergempar PBB bagi menghalang pertempuran itu. Sidang itu dijadualkan diadakan pada 28 Oktober ini.

Mesir pula mengadakan satu persidangan damai yang turut dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan dan menteri pertahanan dunia bagi mengenakan tekanan terhadap Israel. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka memperlihatkan sokongan besar dunia terhadap pihak Palestin.

Sebelum itu, Liga Arab, pertubuhan yang menghimpunkan negara-negara Arab telah betsodang dan mereka bersatu suara dan pendirian dalam isu Palestin. Ketika mana mereka tidak menyokong serangan rambang Hamas terhadap orang awam Israel, mereka menolak tindakan Israel yang lebih buruk terhadap orang ramai termasuk, melakukan sekatan air dan bekalan elektrik, pengeboman rumah kediaman orang awam dan melakukan penghalauan etnik.

Negara-negara Arab menuntut supaya ditubuhkan negara Palestin yang berdaulat dan mampu mempertahankan diri seperti mana Israel juga. Hamas atau apa saja kumpulan bersenjata akan muncul sekiranya mereka berasakan tidak ada jalan keluar daripada pendudukan dan penjajahan.

Sokongan sebahagian besar dunia terhadap Palestin kali ini juga luar biasa.

Palestin menerima sokongan bukan saja oleh orang Islam di seluruh dunia tetapi juga sebahagian kalangan bukan Islam di Eropah, AS dan Asia yang menjadikannya isu kemanusiaan dan bukan keagamaan.

Israel menerima tekanan paling besar dalam sejarahnya walaupun ia tetap akan melawannya.

Sokongan pada Pelestin makin banyak

Saya meletakkan kehadiran sokongan besar ini di atas tiga perkembangan iaitu pertambahan penduduk dunia terutama orang Islam, kemajuan media massa khususnya media sosial dan kemakmuran sejagat bumi.

Dengan pertambahan penduduk dunia, semakin banyak orang yang menyokong Palestin. Lebih-lebih lagi penduduk Islam yang dari segi demografi dunia meningkat banyak. Walaupun tidak semestinya orang Islam pasti menyokong Palestin, tetapi kebarangkaliannya demikian adalah tinggi.

Ditambah pula kehadiran orang Islam di negara Barat yang banyak meluaskan lagi mesej perjuangan Palestin.

Secara tradisi pula, sebahagian daripada kalangan kiri, dan juga Katholik serta nasionalis, umpamanya Ireland memihak pada Palestin. Lebih-lebih lagi dalam kalangan orang Palestin, terdapat minoriti Katholik. Perlu sentiasa diingat bahawa Palestin adalah entiti pelbagai kaum dan agama.

Generasi awal iaitu yang ada pada tahun 1948, kebanyakannya sudah tiada. Tetapi pemikiran dan emosi mereka terus wujud kerana diwarisi oleh generasi selanjutnya. Perkara ini berlaku bukan hanya terhadap anutan jati diri nasional dan agama tetapi juga ideologi.

Maka di negara-negara Barat, dari Chicago, Washington, New York hinggalah ke London, Paris, Rom dan Berlin, demonstrasi-demonstrasi yang diadakan adalah daripada gandingan orang Islam dan bukan Islam khususnya kalangan kiri.

Kemajuan media massa khususnya media sosial di seluruh dunia turut memberi kesan besar kepada kesedaran serta pengetahuan mengenai Palestin. Generasi baru umat Islam kini lebih mudah dapat merasakan degup jantung Palestin berbanding orang dulu.

Bayangkan pada tahun 1973, sebagai seorang remaja saya hanya dapat mengetahui peristiwa Palestin melalui radio dan akhbar yang hanya dapat dibaca di perpustakaan sekolah. Atau bandingkan dengan keadaan tahun 1948 ketika mana Israel ditubuhkan.

Berita mengenainya sampai ke Malaya melalui radio dan akhbar yang edarannya amat kecil kerana ketidakmampuan orang ramai membeli bahan bacaan.

Sememangnya di pihak penyokong Israel sudah tentu turut menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej mereka. Lebih-lebih lagi sebahagian penyokong Israel bukan saja nemiliki syarikat-syarikat korporat media global nalah mereka juga menjadi pencetus serta penggerak penting dalam teknologi dan industri maklumat ini.

Sementara itu, di pihak orang Islam pula, ada yang gemar menyebar maklumat mengenai teori konspirasi dikaitkan dengan agama. Tetapi pada keseluruhannya. kemajuan teknologi maklumat telah turut membantu menanan kesedaran dunia mengenai Palestin.

Di atas segalanyq ialah kemakmuran dunia yang semakin bertambah. Apabila dunia semakin bertambah senang, maka manusia semakin tinggi tahap pendidikannya. Di dunia Islam sendiri, banyak negara yang bertambah sejahtera walaupun tidaklah semua orang Islam dapat menikmati kesenangan hidup seperti penduduk Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait dan Bahrain.

Maka bagi golongan terpelajar, dengan maklumat dan ilmu pengetahuan mudah diproleh, dorongan rasa ingin tahu akan membawa kepada kesedaran mengenai nasib malang Palestin.

Dunia sedang berubah. Akhirnya kelak dunia akan menolak entiti Israel disebabkan ia terus berdegil untuk mengamalkan apartheid. AS dan Eropah juga tidak akan selama-lama dapat mempertahankan Israel. Kemenangan akan memihak pada Palestin. Tetapi untuk sampai ke situ, realitinya adalah perjalanan masih penuh dengan penderitaan dan pengorbanan.

Tiada ulasan: