"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM siasat jejak wang derma dikutip NGO untuk Palestin

Raja Noraina Raja Rahim dan Nur Elysa Amirah Suhaimi
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip derma untuk rakyat Palestin, tertumpu kepada transaksi keluar masuk wang dan perbelanjaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan dijalankan susulan dakwaan pelbagai pihak yang mempersoalkan bagaimana wang derma itu dibelanjakan oleh NGO berkenaan.

Beliau juga menjelaskan, siasatan masih di peringkat awal sebelum SPRM memanggil individu yang terbabit bagi rakaman keterangan.

"Siasatan bermula minggu lalu dan kes ini masih terlalu awal. Siasatan dibuat berdasarkan tohmahan dan pertikaian sama ada wang perbelanjaan NGO itu untuk mereka yang menjadi mangsa di Palestin dan adakah mereka (NGO) mengikut peraturan negara ini?

"Walaupun tiada laporan diterima, kes ini berkepentingan awam kerana membabitkan wang kita semua. Kita sedang mendapatkan dokumen daripada NGO terbabit dan pihak bank yang dipercayai boleh membantu siasatan," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Antirasuah Antikorupsi Antarabangsa 2023, di sini hari ini, berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada NGO itu, termasuk pengarahnya, namun belum merakam keterangan mana-mana individu.

"Kita sedang mendapatkan dokumen daripada pengarah. Siasatan bertumpu kepada dokumen-dokumen yang banyak perlu dikaji melalui forensik, bagaimana wang itu dibelanjakan. Kita perlu lihat dari mula pungutan wang dan bagaimana dibelanjakan.

"Saya jangkakan SPRM perlu buat forensik perakaunan terhadap penyata kewangan dan akaun NGO itu kerana kita perlu melihat perjalanan keluar masuk wang yang didermakan dan ke mana ia dibelanjakan, sama ada benar-benar disalurkan untuk kebajikan rakyat Palestin," katanya.

Jumaat lalu, potal berita melaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas NGO berkenaan berhubung aktiviti pengumpulan derma untuk rakyat Palestin.

Ia susulan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menarik balik kebenaran untuk NGO itu membuat kutipan bagi tujuan berkenaan, susulan aduan beberapa pihak yang meminta pertubuhan itu disiasat berkaitan wang dipungut dan dikumpulkan selama ini.

SPRM mempunyai kuasa untuk memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang diterbitkan oleh media.

Tiada ulasan: