"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX: Malaysia tak takut ugutan, ancaman isu Palestin

Mohd Farhan Darwis dan Yasmin Abdul Latif

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau mula menerima banyak ugutan daripada beberapa kuasa besar dunia susulan kelantangan Malaysia membela hak rakyat Palestin.

Anwar menegaskan, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

“Saya dikritik, mula diserang beberapa kalangan Amerika Syarikat, Eropah dan Israel. Waspada saya beritahu, selagi saya diberi mandat oleh rakyat saya tidak terima ugutan itu, kita lawan tetap lawan.

“Jangan fikir untuk ancam kami. Malaysia negara bebas. Kita tentukan apa yang betul. Kita faham makna kebebasan. Kita bersama perjuangan rakyat Palestin, semalam, hari ini, dan esok,” kata Anwar, dalam Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Terdahulu, ribuan peserta membanjiri lokasi itu sambil mengenakan pakaian serba putih sebagai tanda solidariti untuk rakyat Palestin.

Perhimpunan kelolalan Abim dan Global Peace Malaysia (GPM) selaku penganjur utama itu bermula 7.30 malam dan turut melibatkan lebih 40 NGO lain
Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Acara dimulakan dengan solat berjemaah yang dipimpin oleh seorang imam Palestin, Rami Sousi, sebelum sesi ucapan.

Ia turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan, dan beberapa orang duta negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Selain itu, Anwar berkata, sebagai negara yang bebas, Malaysia tidak akan berhenti memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka. Malaysia ini akan kekal sebagai negara berdaulat pertahankan hak, perjuangkan kebebasan dan kebebasan rakyat Palestin,” tegas Anwar lagi.

Tiada ulasan: