"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi curah ‘minyak ke api’ buat perbandingan melampau

HarapanDaily.com

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, adalah keterlaluan bagi seorang ahli politik veteran seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang terus mencurahkan ‘minyak ke api’ dengan melabel dan membuat perbandingan melampau kepada lawan politik.

Tegasnya, lebih teruk lagi apabila Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mensasarkan pemimpin yang sedang mentadbir negara dan sentiasa berusaha memakmurkan negara.

“Menyamakan sikap munafik dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya menyekat dan tidak menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah pimpinan partinya adalah satu pemesongan fakta yang nyata.

“Ini kerana peruntukan kepada kerajaan negeri pembangkang disediakan dalam pelbagai bentuk dan saluran.

“Hal ini boleh dirujuk peruntukan yang telah disalurkan kepada Negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Belanjawan 2024,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Hadi menyamakan Pakatan Harapan (PH) dengan sifat munafik dan rejim Israel dengan memanipulasi petikan ayat tujuh, Surah al-Munafiqun.

Menerusi Minda Presiden Pas bertajuk, “Cara Golongan Munafiq Menentang Islam Diikuti Israel dan Pakatan Harapan”, Hadi menyamakan pendekatan pemerintahan Kerajaan Perpaduan-MADANI seperti pendekatan golongan munafik.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, tuduhan Hadi sebenarnya sama seperti ‘menepuk air di dulang, terkena ke muka sendiri’ kerana perkara yang sama pernah dilakukan kerajaan terdahulu yang turut disertai Pas.

“Ternyata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan banyak salah faham dan penuh dengan sikap menunggang dalil agama untuk kepentingan politik dan meraih keuntungan dunia semata-mata.

Dalam masa yang sama, katanya YADIM ingin menasihati seluruh pihak untuk tidak mengelirukan rakyat dengan menggunakan dalil-dalil al-Quran dan Sunnah dengan memetik tanpa merujuk kepada asbabul nuzul dan konteks yang benar dan tepat.

“Islam menyeru kepada keharmonian dan keamanan sejagat. Islam bukanlah agama milik individu atau kelompok tertentu, tetapi agama daripada Allah SWT sebagai panduan penyelesaian kepada seluruh umat manusia. Kembalilah kepada ‘agama itu satu nasihat,” kata Hasanuddin lagi.

Tiada ulasan: